Tuesday, July 14, 2009

The truth 4x4 for the off road challenge

Hm, selepas kekecewaan tidak boleh bawa masuk VIVA ke sekolah sebelum ni, sekarang saya boleh berpuas hati dengan percaturan baru yang saya ambil dalam masa terdekat. Kalau sebelum ni saya tidak boleh berkenderaan ke sekolah di sebabkan jambatan runtuh dan terpaksa meredah sungai. Sekarang saya punya alternatif lagi untuk mencapai matlamat, iaitu membawa kenderaan sendiri masuk ke kawasan sekolah untuk kegunaan harian. Dengan itu, saya membeli sebuah Kembara baru-baru ini sebagai alternatif baru ke sekolah.

SELAMAT DATANG KEMBARA KU


VIVA sudah saya hantar balik ke semenanjung untuk kegunaan keluarga di sana. Lepas ni Kembara la menjadi pengangkutan untuk saya bergerak ke sana sini. Yang pasti saya tidak mahu terlepas solat Jumaat lagi lepas ni. Bukan sengaja tinggal solat Jumaat, tapi keadaan sekolah yang jauh di pedalaman membuatkan saya sukar untuk keluar lebih-lebih lagi tanpa kenderaan sendiri yang boleh di gunakan untuk tujuan itu. Saya harap Kembara yang saya beli ini banyak memberi faedah dan manfaat sepanjang saya berkhidmat di Sabah ni. Wallahu A’lam..

SELAMAT PULANG VIVA KU

Wednesday, July 8, 2009

PPSMI di mansuh!



Assalamualaikum,

Baru sebentar tadi saya lihat berita utama di tv3, Tan Sri Muhyidin Yassin merangkap Menteri Pelajaran mengumumkan isu yang sudah lama dibangkitkan sejak 2003, tahun ia mula dilaksanakan iaitu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ditarik balik. Setelah sekian lama ia dilaksanakan, kajian dan penelitian dilakukan terhadap keberkesanan pelaksanaan PPSMI ini. Jadi selepas ini, sains dan matematik akan di ajar kembali menggunakan bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu.

Saya selaku guru matematik sekolah rendah amat bersetuju dan berpendapat keputusan kerajaan kali ini amat tepat kerana mengambil maklum balas dari banyak pihak. Tidak hanya ibu bapa malah guru dan pelajar juga berpengaruh dalam mengubah senario ini. Bukan saya mahu kondem atau hentam PPSMI, tetapi lebih menjurus kepada pengalaman saya menjadi guru berdepan dengan anak-anak murid dan pandangan rakan-rakan sejawat mengenai PPSMI ini.

Mengikut pengalaman saya menjadi guru dan bergaul dengan guru-guru matematik yang lain, ada antara mereka yang mengeluh kerana sukar mahu memberikan pemahaman mata pelajaran di ajar kepada anak murid. Bukan kerana tidak boleh mengajar walaupun dalam bahasa Inggeris, sebaliknya mereka perlu mengambil masa yang lebih lama untuk memberikan kefahaman kepada anak didik masing-masing. Saya melihat isu ini dari dua perspektif. (1) Guru perlu menerangkan maksud setiap terjemahan ilmu yang disediakan dalam bahasa Inggeris. (2) Guru perlu memberikan asas penguasaan ilmu sains dan matematik untuk diterapkan dan dikuasai oleh murid. Bukankah ini 2 perkara yang perlu dilakukan oleh guru untuk mengajar hanya satu topik. Andai bahasa Melayu digunakan, guru hanya perlu melakukan perkara nombor 2 di atas kerana bahasa Melayu sememangnya bahasa yang sudah dikuasai oleh murid. Nah! Tinggal lagi murid hanya perlu menguasai ilmu sains dan matematik. Bukankah ini menjimatkan masa guru dan murid untuk menguasai sesuatu ilmu. Oleh hal yang demikian saya amat bersetuju dengan keputusan kementerian dalam hal ini.

Pun begitu, ramai juga guru-guru yang menyokong dan mempertahankan PPSMI kerana mereka merasakan adalah sesuai sekali bahasa Inggeris dilaksanakan dalam sains dan matematik. Mereka mengatakan subjek sains dan matematik adalah subjek mudah dan cepat dikuasai murid. Sebaliknya senario yang berlaku sekarang apabila kajian demi kajian dilakukan secara berperingkat sepanjang pelaksanaan PPSMI, hasil yang kita perolehi sekarang adalah kemerosotan peratusan murid yang skor untuk subjek sains dan matematik tahun demi tahun dan ini terbukti dengan pendedahan oleh Tan Sri Muhyidin Yassin sendiri pada malam ini. Jadi dimanakah yang dikatakan ‘mudah’nya ilmu sains dan matematik ini untuk dikuasai. Malah sebaliknya ada guru menyatakan keluhan kerana tidak puas mengajar subjek sains dan matematik ini dalam bahasa Inggeris kerana hasilnya murid tidak dapat atau lambat untuk menguasai ilmu sains dan matematik kerana kekangan dari aspek penggunaan bahasa penyampaian sesuatu ilmu.

Oleh itu, bersesuaian dengan perubahan dan keputusan yang telah dibuat oleh kementerian ini saya amat menyokong dan sebagai guru akan lebih kuat berusaha memastikan anak didik di bawah didikan saya selepas ini dapat menguasai ilmu sains dan matematik dan sekaligus menaikkan skor peratusan dua subjek berkenaan. Saya juga berharap semua guru yang mengajar subjek sains dan matematik dapat mengajar dengan lebih tekun dan bertanggungjawab tanpa memikirkan insentif yang sebelumnya dinikmati sepanjang pelaksanaan PPSMI.

Sekian untuk waktu ini, Wassalam..