Wednesday, August 19, 2009

Salam Ramadhan 1430H & Selamat Menyambut Kemerdekaan Ke 52

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia

Tahun ni nampaknya negara kita merdeka dalam bulan Ramadhan, iaitu bulan umat Islam berpuasa dari makan dan minum. Oleh itu, sempena menghormati bulan ini negara kita tidak melakukan sambutan kemerdekaan seperti tahun-tahun sebelumnya. Pun begitu, kita sebagai rakyat Malaysia harus berbangga dengan apa yang kita kecapi sekarang ini. Walaupun pelbagai masalah di hadapi negara sepanjang 52 tahun kita merdeka seperti kemerosotan ekonomi dunia pada tahun 1998 dan terkini serangan wabak selesema H1N1 (selesema yang berpunca dari babi), namun kita masih lagi dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni.

Saya berpandangan walaupun negara kita bertelingkah dalam hal-hal politik berpartian, namun perkara ini tidak sampai membawa kepada kejatuhan negara sehingga tergadai dan berlaku darurat. Pada pemikiran saya ada baik buruknya kita berlainan pendapat kerana jika semua orang hanya mempunyai satu kata dan pandangan sahaja, saya jamin negara kita tidak akan mencapai pembangunan seperti yang kita boleh lihat sekarang. Semua orang tidak akan bekerja kuat kerana masing-masing menyerahkan pada yang mempunyai kuasa sahaja menjalankan tugasnya. Sedangkan dalam Islam, seorang yang bergelar pemimpin boleh ditegur oleh rakyat yang dipimpinnya sebagaimana sabda Nabi Muhammad saw yang merupakan pemimpin agung umat Islam ‘jika kamu melihat kemungkaran (perkara tidak baik), tegurlah..’

Berbanding negara yang sedang dikuasai orang luar sekarang ini, lihat sahaja Iraq yang telah diceroboh oleh tentera Amerika Syarikat dan sekutunya. Lihat pula kehidupan seharian rakyatnya selepas negara mereka di ceroboh. Mereka banyak menangis dari tertawa, sedangkan kita masih mampu senyum dan tertawa di negara sendiri. Fikir-fikirkanlah..

Maafkan saya jika pernyataan saya di atas menyentuh sensitiviti sesetengah individu dikalangan kita. Namun sesuatu perubahan tidak akan berlaku tanpa ada kesedaran dalam diri masing-masing. Dan kesedaran hanya timbul apabila ada sesuatu yang menyentuh hati sanubari.

Apa pun fokus saya bukanlah isu-isu di atas sebab saya bukannya berjuang kerana bermusuh dengan siapa-siapa, sebaliknya hanya sebagai bahan bacaan dan selingan sempena kita akan menyambut Ramadhan dan hari kemerdekaan negara kita yang bakal tiba.

Apa yang saya ingin kongsikan ialah pengalaman hidup dipedalaman. Satu perkara lagi yang menarik perhatian saya di sini ialah sungainya yang cantik dan masih terjaga dengan baik. Lihat saja gambar-gambar dibawah.. Udaranya? Cukup nyaman dan menyegarkan..