Monday, October 26, 2009

Nur Hasya Mawaddah

Wahai anak apakah kau mengerti
Betapa deritanya
Ibu yang mengandung
Aduhai anak apakah engkau tahu
Alangkah deritanya ibu melahirkanmu

Namun kelahiranmu adalah penghibur hati
Dibelai dan dimanja setiap hari
Di malam hari tidur tak berwaktu
Tapi tak mengapa kerana kau disayangi

Begitulah dua rangkap lirik lagu odei anak yang dinyanyikan kumpulan nasyid Raihan di awal kemunculannya dulu. Masih terngiang-ngiang lagi ditelinga ni.

Kelahiran bayi pertama kami pada hari Khamis yang lalu kira-kira jam 6 petang melengkapkan lagi keluarga ini. Syukur pada Tuhan yang Maha Pemberi rezeki dengan tidak putus-putus pada kami sekeluarga. Inilah anugerah yang tidak ternilai rasanya. Bayi perempuan kami seberat 3.64 kg selamat dilahirkan di Hospital Sultanah Zanariah, Kuala Terengganu dengan ditemani emak mertua dan kakak ipar saya.

Saya tidak dapat bersama-sama isteri kerana tugas yang tidak dapat ditinggalkan. Tempat kerja yang jauh di pedalaman Sabah juga menyebabkan saya terpaksa menangguhkan urusan untuk bersama-sama isteri mengharungi detik-detik cemas kelahiran anak pertama kami. Pun begitu, bukanlah saya mahu melarikan diri tika isteri menahan sakit kelahiran. Suami mana yang tidak cemas menanti detik kelahiran anak pertama kan? Apa pun semuanya beransur lega apabila menerima sms dari kakak ipar yang mengatakan isteri telah selamat melahirkan anak kami dan keduanya selamat. Masa itu Allah jua yang mengerti perasaan di hati ini. Alhamdulillah, Amin Ya Allah..

Sememangnya sebelum kelahiran lagi saya dan isteri telah sedia memilih nama seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Tapi, nama anak lelaki selalu kami tidak sepakat dalam memilih nama mana yang sesuai. Rupanya kami mahu dianugerahkan anak perempuan. Jadi, kami telah memilih nama Nur Hasya Mawaddah yang membawa makna Kesempurnaan Cinta. Inilah kesempurnaan cinta kami dengan lahirnya seorang bayi dalam keluarga ini. Moga rezeki kami bertambah-tambah lagi selepas ini.

Wallahu A’lam..

Sunday, October 25, 2009

Aktiviti Berakit di Sungai Kiulu, Tamparuli

Assalamualaikum,

Sepatutnya seminggu yang lalu saya coretkan aktiviti ini dalam blog saya. Namun apa kan daya ada sahaja halangan membuatkan coretan ini tertangguh hampir seminggu. Selepas pulang dari aktiviti ini yang berlaku pada 18 Oktober yang lalu, saya rasa tidak sedap badan. Rupa-rupanya tubuh ni nak demam gara-gara berakit seharian di bawah terik mentari. Melihatkan keadaan demam ditambah batuk yang bertambah teruk, dua hari yang lalu saya pergi ke klinik dan sekarang, Alhamdulillah demam kembali kebah. Batuk semakin berkurang. Syukur pada Tuhan yang Maha Memelihara dan Maha Mengasihi hamba-hambaNya.

Pada mulanya saya tidak berfikir mahu mengikuti aktiviti ini, tapi ramai kawan-kawan yang mengajak supaya turut serta, akhirnya saya bersetuju. Lama tak berakit kat jeram ni, bagus juga sesekali mengasah kembali pengalaman berakit semasa dalam kursus perguruan tahun lalu.

Kami mengambil pakej beramai-ramai seramai 13 orang (seorang budak), dan bayaran seorang adalah sebanyak RM150. Perjalanan berakit ini mengambil masa hampir 6 jam sejauh 35 km. Kami bermula jam 11 pagi dari checkpoint Pukak sehingga checkpoint akhir sejauh 20 km. Berhenti rehat dan makan secara buffet. Kemudian meneruskan perjalanan berbaki sejauh 15 km lagi sehingga checkpoint tamat di jambatan Tamparuli kira-kira jam 5 petang. Sebuah rakit hanya memuatkan 12 orang ditambah seorang guide (pemandu rakit).

Berikut rentetan peristiwa berakit di Sungai Kiulu, Tamparuli.


Kami diangkut menggunakan van di pekan Tamparuli untuk ke checkpoint Pukak.


Inilah ketua ekspedisi kami, cikgu Robert James.


Kumpulan berakit tiba di checkpoint Pukak untuk memulakan ekspedisi.


Kumpulan kami diberikan taklimat sebelum memulakan ekspedisi.


Inilah keadaan sungai yang berjeram dan banyak batu-batu yang licin yang akan kami redah nanti.


Jom! Tunggu apa lagi. Sempat lagi bergambar tu..


Kayuh.. Jangan tak kayuh..


Ekspedisi berhenti untuk membuat aktiviti berenang dalam jeram dan arus yang laju. Bukan senang ek.. Kaki perlu dihalakan kedepan supaya andai ada batu didepan, kaki akan berfungsi untuk menyerap impak semasa berlanggar dengan batu.


Ekspedisi berhenti lagi. Kali ini kami diberikan peluang membuat terjunan dari atas batu yang tinggi ke dalam air yang dalam. Ketar juga lutut kami untuk terjun. Nampak macam rendah jer. Tapi bila dah ada atas batu tu macam tinggi la plak..


Berhenti di checkpoint akhir. Rehat dan makan dulu. Inilah nama agensi yang kami ambil untuk ekspedisi berakit ini. Steph Tour and Travels..


Dah penat berakit, masing-masing memang lapar. Seorang makan 2 pinggan penuh. Habis tu.. huhu.


Hmm, sempat jugalah posing di checkpoint tu..


Sambung berakit, kali ni dah agak selesa dan biasa dengan suasana jeram sungai Kiulu ni. Tengok tu.. Bergambar pun sambil berdiri atas rakit. Siap pose lagi tu..


Ekspedisi sampai di checkpoint tamat di Jambatan Tamparuli. Puas betul..


Inilah bekas anggota IPIS yang turut serta. Dari kiri: Faizal, Zul, Aku, dan Rafiee..


P/S: Andai ada kelapangan lepas ni, kami bercadang meneruskan ekspedisi di Sungai Padas, Tenom yang jeramnya lebih kuat dari ini.. Wassalam.

Tuesday, October 20, 2009

Selamat Menunaikan Haji, Ayah..

Panggilan Haji, Telah Tiba lagi
Menunaikan Ibadah, Panggilan Baitullah
Tanah Suci Mekah, Ya Makkatulmukarromah..

Assalamualaikum,

Lama tidak mendengar lagu Panggilan Haji ni. Setiap tahun bila dengar lagu ini mesti sayu rasa hati. Bilalah agaknya giliran saya pula untuk pergi menunaikan ibadah Haji yang merupakan rukun Islam kelima ini.

Menurut ulama Syafi’eyah, mengerjakan haji perlu memenuhi syarat-syarat tertentu iaitu:

1. Mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk diri sendiri semasa dalam perjalanan pergi dan balik serta semasa melaksanakan fardhu haji, dan juga sara hidup bagi orang yang dibawah jagaannya yang ditinggalkan semasa dalam perjalanannya serta perbelanjaannya itu melebihi dari hutangnya.

2. Ada kenderaan seperti kapal terbang, kapal laut, bas dan seumpamanya sama ada miliknya sendiri atau dia mampu menyewanya dengan sewaan biasa menurut tempat dan masa. Syarat ada kenderaan bagi yang hendak mengerjakan haji itu hanya dikenakan kepada orang yang jauh tempat tinggalnya dengan Mekah dua marhalah (90 km) atau lebih iaitu kadar yang membolehkan diqasar sembahyang.

Kedua-dua syarat iaitu bekalan dan kenderaan itu disebut dalam hadis riwayat Ibnu Umar dengan katanya yang maksudnya:

"Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah saw, maka lelaki itu berkata (bertanya): "Ya Rasulullah, apakah yang mewajibkan haji itu?’’ Baginda menjawab: "Bekalan dan kenderaan.’’ (Hadis riwayat Al-Tirmidzi).

Berdasarkan hadis di atas bagi orang yang tidak mempunyai bekalan dan kenderaan tidak wajib ke atasnya mengerjakan haji. Menurut Ibnu Hajar tidak wajib di atas orang Islam mencari bekalan dan kenderaan untuk pergi haji dengan cara meminta-minta kepada orang lain atau menerima pemberian daripada orang lain atau dengan cara berhutang, kecuali dia mendapat bekalan dan seumpamanya itu daripada harta yang sedia ada di tangannya.

Bagi orang yang memiliki belanja yang melebihi dari keperluan dirinya dan tanggungannya sepanjang pemergiannya untuk mengerjakan haji maka haji adalah wajib ke atas orang tersebut. Demikianlah sebaliknya sekiranya belanja tersebut tidak melebihi keperluan diri dan tanggungannya maka tiadalah wajib haji ke atasnya.

Adapun orang yang memiliki harta yang memberi hasil kepadanya dan hasil tersebut tidak melebihi kadar keperluan diri dan tanggungannya seperti tanah atau rumah sewa dan seumpamanya tetapi apabila dijual harta berkenaan, hasil jualan tersebut akan membolehkan dia mengerjakan haji dan melebihi keperluan tanggungannya sepanjang pemergian haji, maka menurut qaul yang ashah dalam Mazhab Syafie haji adalah wajib ke atas orang tersebut.

Walau bagaimanapun tidak wajib menjual rumah tempat kediamannya dan perkakas rumah untuk mengerjakan haji kerana semua perkara itu adalah keperluan yang sangat dihajati (dharuri) dan Islam tidak membebankan umatnya untuk menunaikan haji jika belum berkemampuannya dan cukup syarat-syaratnya.

P/S: Ayahanda akan berangkat esok (21/10/2009) menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Terengganu. Ini haji yang kedua kalinya Ayahanda tunaikan. Anakanda minta maaf tidak dapat pulang menghantar Ayahanda disebabkan tugas yang perlu diselesaikan. Pun begitu, Anakanda doakan Ayahanda selamat pergi dan kembali dan mendapat haji yang mabrur hendaknya. Amin..

Salam dari Anakanda.

Wednesday, October 14, 2009

Terkini dari Kironggu

Assalamualaikum,

Terdahulu nama Kironggu tidak pernah di sebut-sebut masyarakat Sabah. Usahkan Sabah, pekan sekecil Telupid pun kalu di tanya mana letaknya kampung Kironggu, saya yakin ramai yang tidak tahu di mana. Inilah dia Kironggu. Sebuah kampung terpencil di pedalaman Sabah. Jika anda dari Kota Kinabalu, untuk sampai ke kampung ini memerlukan masa lingkungan 7 hingga 8 jam dan perlu melalui beberapa kawasan antaranya Tamparuli, Bundu Tuhan, Kundasang, Ranau, Telupid dan Entilibon. Jika anda dari Sandakan pula, anggaran masa yang diambil untuk sampai ke kampung Kironggu ini adalah dalam lingkungan 3 hingga 4 jam dan anda akan melepasi beberapa kawasan antaranya Sepilok, Checkpoint 32(simpang Lahad Datu/Tawau), Beluran, Batu Sapi, Telupid, dan Entilibon.

Namun, baru-baru ini nama Kironggu naik tiba-tiba dan menjadi bualan ramai apabila tersiarnya keadaan jalan rosak menuju ke kampung ini di dada akhbar. Inilah kuasa akhbar. Sesuatu yang tidak pernah dikenali akan menjadi perhatian ramai apabila ianya dipaparkan padanya untuk masyarakat umum. Justeru, ramai yang bertanya di mana Kironggu sehingga dikenali umum, khasnya daerah yang berdekatan dengannya iaitu Telupid.

Saya juga tidak terlepas dari dihujani persoalan demi persoalan dari masyarakat terutama rakan-rakan yang ingin mengetahui apa yang terjadi.

Pun begitu, berita ini bukanlah sesuatu yang baru kerana sebelum ini pun saya pernah menulis mengenai keadaan jalan yang rosak di kampung ini dalam blog saya. Walaubagaimanapun kesannya tidaklah se gah berita diakhbar yang begitu ramai membacanya saban hari. Kesannya pula cukup ketara.

Pernah suatu petang saya menghadiri mesyuarat di sekolah lain di daerah yang sama bersama seorang lagi guru. Namun sekolah ini juga letaknya di pedalaman. Hendak ke sana pula bagaikan keluar dari sarang masuk lagi ke sarang lain. Begitulah keadaannya sekolah-sekolah di pedalaman Sabah ini. Masuk satu pedalaman ada satu sekolah. Jadi hendak pergi ke satu lagi sekolah lain yang statusnya juga pedalaman, kami terpaksa keluar dahulu ke jalan raya barulah masuk kembali ke anak jalan yang lain. Itulah saya suka maksudkan keluar dari sarang masuk lagi ke sarang yang lain. Berbalik pada kisah yang ingin saya kongsikan. Sampai di sekolah ini, kami sudah lewat dari waktu yang telah dimaklumkan. Adalah dalam 1 jam. Pun begitu kami bernasib baik mesyuarat masih belum dimulakan. Barangkali mereka masih menunggu guru-guru lain yang belum hadir. Beginilah sekolah pedalaman. Kalau mahu mengadakan perjumpaan selalunya akan bermula lambat dari waktu ditetapkan kerana keadaan perjalanan yang kurang memuaskan. Apa pun setibanya kami di sana, kami disambut dengan tepukan oleh ahli mesyuarat apabila guru besar sekolah itu memuji kami yang masih boleh sampai ke sana walaupun beliau mengetahui keadaan kami yang sukar untuk keluar/masuk dari sekolah. Terkejut juga kami pada mulanya. Macamana mereka semua boleh tahu keadaan jalan ke sekolah kami yang rosak sedangkan mereka tidak pernah melalui jalan ke sekolah kami? Dalam keadaan kami yang terpinga-pinga di sana menerima tepukan yang secara tiba-tiba ini, barulah kami sedar yang sebelum ini keadaan jalan rosak ke sekolah kami telah pun pernah tersiar di dada akhbar. Mungkin dari situlah mereka mengetahui keadaan jalan kami di sana. Jadi, sepanjang mesyuarat itu kami tersenyum sendiri. Berbaur emosi kami. Entahkan senyum banggakah atau pun senyum malu..

Hari ini, setelah aduan demi aduan di buat akhirnya jalan yang rosak telah pun diambil tindakan oleh pihak yang berkenaan. Jambatan yang runtuh sebelumnya sekarang ini sudah dalam pembinaan. Sempat juga saya mengambil beberapa keping gambar apabila sesekali melintasi kawasan pembinaan tersebut.

SEBELUM PEMBINAAN



TERKINI DALAM PEMBINAAN


Tuesday, October 6, 2009

Jom! Pakat puasa 6 hari bulan Syawal..


Abu Ayyub Al-Anshari ra meriwayatkan, Nabi saw bersabda:
"Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu menyambungnya dengan (puasa) enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama satu tahun." (Hadis Riwayat Muslim).

Apa itu puasa enam?

Puasa enam ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di bulan Syawal.

Cara melaksanakan:
1. Berturut-turut di awal bulan Syawal iaitu bermula dari 2 haribulan Syawal (lebih afdhal).
2. Boleh dikerjakan secara berselang-seli ataupun dikerjakan bukan di awal bulan Syawal.
3. Yang penting syarat sahnya mesti dalam BULAN SYAWAL!

So, apalagi kawan-kawan muslimin muslimat semua. Jom, kita lengkapkan lagi puasa Ramadhan dengan puasa enam hari di bulan Syawal yang tidak lama lagi akan berlalu..