Wednesday, March 16, 2011

Percaya kepada qada’ dan qadar

16.03.2011, 3:04 PM

Assalamualaikum wbt,


Saya tertarik dengan isu2 semasa kini berkaitan dengan bencana2 yang berlaku di dunia. Terbaru ialah bencana gempa bumi di dasar laut yang telah mengakibatkan tsunami besar melanda negara matahari terbit, Jepun. Bencana ini telah mengakibatkan banyak kerosakan harta benda mahupun nyawa.


Namun apa yang saya ingin nyatakan di sini bukanlah kesan daripada bencana yang berlaku ini, sebaliknya ingin muhasabah diri sendiri dan mereka di luar sana yang sering mengeluarkan pendapat yang saya kira tidak mengambil kira soal kuasa lain yang ada di alam semesta ini. Kuasa siapa? Siapa lagi kalau bukan tuhan kita semua, Allah swt.


Selepas saya sendiri mengalami bencana banjir pada akhir bulan Januari yang lalu, seringkali apabila berjumpa dengan rakan2 mahupun sanak saudara yang mengenali diri ini bertanyakan soal banjir yang berlaku. Bagaimana boleh berlaku banjir? Kenapa beli rumah sedangkan dah tahu itu kawasan banjir? Kan aku dah cakap dekat situ kawasan banjir, kenapa kau beli juga rumah di situ?


Hmm.. Manusia.. Saya hanya mampu senyum.


Persoalan itu seolah-olah kita menidakkan takdir yang telah ditentukan tuhan. Seolah-olah kita tahu yang kita semua akan mati apabila sudah berusia tua. Sedangkan pada bila2 masa sahaja jika sudah ditakdirkan Allah swt kita semua akan mati. Tak kiralah muda atau tua. Begitu juga dengan bencana yang menimpa kita. Jika sudah ditakdirkan akan berlaku ke atas kita, adakah kita mahu menidakkan kuasaNya? Bukankah sepatutnya kita harus redha dan jika berlaku ke atas sahabat handai yang kita kenali apalah salah jika kita turut melahirkan rasa simpati kalau pun tidak dapat menghulur bantuan kebendaan.


Begitulah halnya dengan bencana yang berlaku ke atas negara Jepun. Adakah mereka tidak merancang dahulu sebelum membangunkan tanahairnya? Sedangkan ahli saintifik mereka sendiri tahu keadaan muka bumi mereka memang sentiasa terdedah kepada bahaya gempa bumi. Ya, mereka sememangnya merancang dengan membangunkan bangunan2 yang boleh menyerap hentakan jika berlaku gempa bumi. Malah teknologi mereka bertaraf dunia dan sangat maju dari negara2 maju lain. Tetapi siapa di atas muka bumi ini yang mampu menidakkan kuasa Tuhan yang Maha Hebat?


Kita hanya merancang Tuhan menentukan segala-galanya..


Oleh itu, marilah kita semua bermuhasabah diri. Jangan hanya kerana sesuatu bencana itu tidak berlaku pada diri kita. Maka kita mendabik dada mengatakan itu dan ini. Sebab itu negara itu di timpa kemusnahan yang besar bila berlaku bencana. Sebab ini negara ini tidak seharusnya membangunkan teknologi nuklear yang boleh mengancam ribuan malah jutaan nyawa. Dan sebab semua itu akhirnya kitalah sahaja yang betul dan pandai tentang itu dan ini.


Bersyukurlah kita jika kita tidak termasuk dalam ujian Allah swt yang Maha Hebat. Redhalah kita jika ditimpakan dengan ujian Allah swt yang Maha Hebat. Sesungguhnya setiap ujian adalah untuk menghapus dosa dan membersihkan hati2 manusia jika kita mampu bersabar dengan ujian yang menimpa. Zahirkan kesyukuran kita dengan Alhamdulillah dan hisablah diri dengan ucapan Astaghfirullah. Moga kita semua berada dalam lindungan Ilahi.


Wallahu A’lam.