Saturday, August 13, 2011

Sokong PAS Salah, Sokong UMNO Betul

13 Ramadhan 1432, 13.8.2011 (Sabtu)


Assalamualaikum,


PERINGATAN: Bacalah dengan minda terbuka. Ketepikan dulu perasaan aku ini dari parti ini atau itu.



PAS vs UMNO.


Nak tau persamaan dua parti ini. Dua-dua melayu dan Islam. Perbezaan? Satu nak daulatkan Islam, satu lagi nak martabatkan orang melayu. Jadi, dimana salahnya? Perlu tak daulatkan Islam? Jawapan saya, YA perlu. Perlu tak martabatkan orang melayu? Jawapan saya, YA perlu. Jadi kenapa kata sokong parti itu salah dan sokong parti ini betul? Jawapan tuan-tuan?


Saya mungkin akan dikatakan berani kenapa memainkan isu dua parti ini. Apatah lagi bila disebut parti ianya akan berkait dengan politik. Bila sebut politik maka ianya kes sensitif dalam masyarakat. Sesetengah orang yang sememangnya terlibat dan mempunyai parti pilihan pastinya akan menegakkan apa sahaja yang dikatakan oleh parti masing-masing. Namun sebahagian yang muak dengan keadaan ini akan cuba mengelak dan diam membisu.


Saya bukannya mahu menjadi batu api siapa betul dan siapa salah. Cuma bila saya rasa saya ingin berdakwah dengan sedikit ilmu yang saya ada dan ingin berkongsi ilmu ini, ramai akan mengatakan saya ini pro kepada suatu parti tertentu.


Saya seorang Islam dan matlamat saya sehingga menjadi orang yang beriman. InsyaAllah. Sebab di syurga Allah hanyalah orang yang ada iman walau secubit akan memasukinya. Islam tak masuk syurga?


Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Rasulullah bersabda, “Ingatlah bahwa sesungguhnya anak cucu bani adam dijadikan Allah bermacam-macam tingkatan atau golongan. Ada yang lahir sebagai mukmin muslim sebab bapak ibunya mukmin, lalu hidupnya tetap mukmin sampai mati. Ada yang lahir kafir dan mati dalam keadaan kafir. Ada pula yang lahir mukmin tapi matinya kafir. Ada yang lahir kafir, hidup kafir tapi matinya mukmin (khusnul khotimah).


Pernah tuan-tuan dengar berita adanya orang Islam yang di tangkap berkhalwat dan membuat maksiat? Pernah tuan-tuan dengar berita adanya orang Islam yang di tangkap sedang minum arak? Sedang berjudi? Maka dengan itu saya katakan atas nama kita sebagai Islam belum tentu dijamin ke syurga Allah SWT. Nak dapat syurga Allah, kenalah ada iman tuan-tuan.


Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang beriman dan mengerjakan amal baik ke dalam syurga-syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Di Syurga itu mereka diberikan perhiasan gelang-gelang daripada emas dan mutiara, dan pakaian mereka adalah sutera (Al-Hajj 22;23).


Sungguh bertuah orang-orang yang beriman iaitu orang yang khusyu' dalam shalatnya; orang yang menjauhkan diri daripada perkataan yang tidak bermanfaat; orang yang membayar zakat; orang yang menjaga kemaluannya; kecuali terhadap isteri-isteri mereka....; dan orang-orang yang menjaga amanah dan janji-janjinya; dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya; mereka itulah yang akan mewarisi syurga (Al-Mukminuun 23; 1-11).


Apa pun yang tuan-tuan fikirkan saya tak dapat halang cuma jawapan saya satu. Saya suka Islam dan saya nak tonjolkan sedikit ilmu Islam yang ada pada diri saya pada masyarakat. Bukan niat riak, cuma ingin berkongsi dan bertukar ilmu agar kita sama-sama dapat ilmu Islam dan beramal dengannya. Matlamat kita satu. Kita mahu menuju syurga Allah yang kekal abadi.


Dulu Islam tidak boleh ditonjolkan tuan-tuan. Siapa yang istihar diri dia Islam akan mati ditangan orang kafir laknatullah. Begitu sekali susahnya nabi nak sampaikan ajaran Islam. Sekarang kalau kita beritahu diri kita orang Islam tak ada siapa pun berani sentuh atau menganiayai kita. Maka, inilah masanya kita tonjolkan kebaikan Islam itu dan berkongsi-kongsi ilmu Islam yang kita tahu sebab nabi dah tiada lagi untuk menyampaikan ajaran Islam ini tuan-tuan. Kitalah yang perlu mewarisinya dengan berlandaskan peninggalan baginda iaitu al-Quran dan Hadis untuk diwarisi generasi selepasnya.


Barangkali kita perlu meneliti kembali apa yang disabdakan Nabi Muhammad SAW kira-kira 1,432 tahun lalu apabila Baginda ditanya oleh sahabat mengenai kekuatan umat Islam masa hadapan di mana Baginda menjawab bahawa umat Islam pada akhir zaman akan menjadi kaum majoriti di dunia, tetapi ianya tidak bererti dan tidak menakutkan musuh iaitu ibarat buih di laut seperti yang diriwayatkan daripada Thauban r.a. yang bermaksud:


“Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama.”


Maka para sahabat r.a. bertanya,


”Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?”


Sabda Baginda SAW: “Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut.


Sahabat bertanya lagi,


“Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?” Jawab Rasulullah SAW, “Kerana dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn.


Sahabat bertanya lagi,


“Apakah itu al-Wahn?”


Rasulullah SAW bersabda, “Cintakan dunia dan takut akan kematian.”


Apa parti saya tidak penting. Parti mana yang saya sokong pun tidak penting. Yang penting kita boleh lihat Islam masih tertegak di muka bumi ini kerana sampai suatu saat tiada orang mampu menyebut “Allah” maka tunggulah kehadiran kiamat. Nauzubillahiminzalik.


Atas kesedaran ini saya mengajak diri saya sendiri dan tuan-tuan untuk sama-sama memperkemas ilmu Islam dalam diri sendiri. Ilmu yang kita yakin sanad dan nasabnya kita kongsikan dan sebarkan agar orang lain beroleh ilmu itu dan dapat sama-sama beramal dengan lebih yakin. Pada zaman teknologi serba mudah ini macam-macam kita boleh capai dan genggam tapi capai dan genggamlah ilmu yang baik ini agar hati kita tidak mudah lalai dan terpesong dengan permainan duniawi.


Akhir kalam, segala yang baik adalah dari Allah dan segala yang buruk juga dari Allah tetapi atas kelemahan diri saya sendiri.


Selamat menjalani ibadah puasa 1432H.


Sekian.