Monday, October 1, 2012

100 Juta Bangunkan Hybrid dan Ev

1.10.2012, Isnin
15 Zulkaedah 1433H


Assalamualaikum,

Dalam bajet 2013 yang diumumkan pada 28.9.2012 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang lalu ada dinyatakan peruntukan yang begitu besar kepada proton untuk membangunkan kenderaan hybrid dan ev untuk pasaran di Malaysia. Dengan kepesatan jumlah pemilikan kenderaan yang makin bertambah di jalan raya Malaysia, ianya dilihat sebagai satu tindakan yang tepat oleh kerajaan dalam usaha mengurangkan pencemaran terhadap alam sekitar sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada hasil petrolium semata-mata.

Dulu sekitar 2007, buat kali pertama teknologi hybrid diperkenalkan ramai yang ragu akan keberkesanan penggunaan kenderaan ini. Masyarakat menganggap pembelian kenderaan hybrid adalah tidak berbaloi dengan kos yang mahal dan teknologi yang belum mampu menjamin kepuasan pemanduan sebagaimana kenderaan yang bergantung sepenuhnya kepada kuasa enjin semata. Ketika harga petrol semakin naik, ramai yang beralih arah dengan pemasangan NGV pada kenderaan masing-masing. 

Namun kini semakin ramai yang beralih kepada kenderaan hybrid setelah menyedari akan kelebihan yang ada pada kenderaan hybrid seperti pengurangan penggunaan petrol yang lebih efisyen dan sangat menjimatkan. Apatah lagi langkah kerajaan yang mengecualikan cukai bagi kenderaan ini membolehkan ramai pembeli mampu memiliki kenderaan ini.

Bagi saya yang juga menggunakan kenderaan ini merasakan banyak sekali kelebihan yang ada pada kenderaan hybrid. Dengan teknologi yang kian pesat, kenderaan hybrid bukan lagi satu impian malah ianya kenyataan yang melegakan banyak aspek. Antaranya tentu sekali pada bahan bakarnya yang sangat menjimatkan. Perjalanan balik ke kampung kini bukan lagi satu beban dalam menyediakan wang ringgit untuk mengisi minyak kenderaan. Cukup dengan hanya sekali pengisian kita tidak perlu lagi mencari dimana stesen minyak seterusnya untuk menyambung kembali perjalanan.

Cara enjin berfungsi juga lain daripada pemanduan kenderaan biasa. Ianya tidak dapat digambarkan dengan nukilan. Namun teknologi memungkinkan segalanya yang mustahil pada pemikiran kita. 

Pandulah sebuah hari ini dan rasai perbezaannya..

Sunday, January 8, 2012

2012 Tahun Cabaran

8.1.2012 (Ahad), 14 Safar 1433H

Assalamualaikum wbt,

Hampir setahun kenangan peristiwa taman aku ni dilanda bencana banjir sehingga menenggelamkan hampir ¾ isi rumah. Tahun baru 2012 dilihat banyak kejadian cuaca yang tidak menentu dengan hujan mencurah dimana-mana negeri sehingga menyebabkan banjir dikawasan rendah. Dulu tidaklah aku kisah sangat bila dengar berita banjir. Tapi bila dah berlaku terhadap diri sendiri barulah timbul rasa sedih dan turut bersimpati kepada mangsa banjir. Mungkin itulah hikmahnya Tuhan nak sedarkan diri hambanya untuk turut sama merasai kekurangan dan kesusahan orang lain di samping memberikan bantuan sekadar termampu kepada mereka yang memerlukan. Seperti juga ibadah puasa menuntut kita merasai penderitaan orang yang fakir sehingga kelaparan lantaran tidak mampu untuk mendapatkan sesuap makanan.

Apa pun, harapan kami tahun ni agar dijauhkan daripada kejadian banjir seperti tahun sudah. Sebenarnya selepas kejadian banjir yang berlaku dulu, kerajaan telah berbelanja besar dengan membina tembok batu ditepi tebing sungai gemas. Kerja-kerja membina masih lagi berjalan dan dijangkakan siap pada April ini. Terima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap penduduk di taman ini. Namun itu adalah usaha manusia dan yang menentukan adalah Allah jua. Moga kediaman kami dilindungi Allah hendaknya. Amin..

Lama tak kemaskini tentang keluarga. Masih dengan seorang anak yang pada tahun ini akan mencecah usia 3 tahun. Besar dah kan? Namun belum ada tanda-tanda dari-Nya untuk menerima seorang lagi anak. Mungkin belum rezeki kami. Walaupun begitu, Hasya semakin lincah dan cergas. Tidak lagi mahu bergantung dengan kami kalau keluar ke mana-mana. Seperti orang dewasa lagaknya bila keluar mahu berjalan sendirian tidak mahu dipimpin. Grill pintu rumah dengan senang dia panjat dan membuka pintunya. Mahu tidak mahu grill terpaksa kami kunci dengan mangga bagi mengelak Hasya keluar tanpa disedari oleh kami.



Pintu peti sejuk juga tidak terkecuali, setiap masa setiap saat akan dibuka olehnya. Padahal apa yang di cari tidak juga dijumpai. Lama juga mencari akal untuk mengelakkan Hasya daripada membuka pintu peti sejuk dan menyepah-nyepahkan barang di dalamnya. Kadang terasa juga nak marahkan orang yang buat peti sejuk ni. Kenapa la tak sediakan kunci sekali pada pintu peti sejuk tu! Akhirnya terdetik idea untuk meletakkan kunci pada pintu peti sejuk dengan meletakkan engsel bermangga. Harap-harap tak rosak peti sejuk kami dengan idea ni. Hahaha.. 




Apa yang pasti, Hasya tak lagi dapat bermaharajalela dengan sesuka hati membuka pintu peti sejuk tanpa tujuan. Buat sementara waktu, peti sejuk selamat dari menjadi mainan Hasya. Entah esok atau lusa apa lagi yang akan diterokainya.

Wallahu A’alam.