Sunday, January 8, 2012

2012 Tahun Cabaran

8.1.2012 (Ahad), 14 Safar 1433H

Assalamualaikum wbt,

Hampir setahun kenangan peristiwa taman aku ni dilanda bencana banjir sehingga menenggelamkan hampir ¾ isi rumah. Tahun baru 2012 dilihat banyak kejadian cuaca yang tidak menentu dengan hujan mencurah dimana-mana negeri sehingga menyebabkan banjir dikawasan rendah. Dulu tidaklah aku kisah sangat bila dengar berita banjir. Tapi bila dah berlaku terhadap diri sendiri barulah timbul rasa sedih dan turut bersimpati kepada mangsa banjir. Mungkin itulah hikmahnya Tuhan nak sedarkan diri hambanya untuk turut sama merasai kekurangan dan kesusahan orang lain di samping memberikan bantuan sekadar termampu kepada mereka yang memerlukan. Seperti juga ibadah puasa menuntut kita merasai penderitaan orang yang fakir sehingga kelaparan lantaran tidak mampu untuk mendapatkan sesuap makanan.

Apa pun, harapan kami tahun ni agar dijauhkan daripada kejadian banjir seperti tahun sudah. Sebenarnya selepas kejadian banjir yang berlaku dulu, kerajaan telah berbelanja besar dengan membina tembok batu ditepi tebing sungai gemas. Kerja-kerja membina masih lagi berjalan dan dijangkakan siap pada April ini. Terima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap penduduk di taman ini. Namun itu adalah usaha manusia dan yang menentukan adalah Allah jua. Moga kediaman kami dilindungi Allah hendaknya. Amin..

Lama tak kemaskini tentang keluarga. Masih dengan seorang anak yang pada tahun ini akan mencecah usia 3 tahun. Besar dah kan? Namun belum ada tanda-tanda dari-Nya untuk menerima seorang lagi anak. Mungkin belum rezeki kami. Walaupun begitu, Hasya semakin lincah dan cergas. Tidak lagi mahu bergantung dengan kami kalau keluar ke mana-mana. Seperti orang dewasa lagaknya bila keluar mahu berjalan sendirian tidak mahu dipimpin. Grill pintu rumah dengan senang dia panjat dan membuka pintunya. Mahu tidak mahu grill terpaksa kami kunci dengan mangga bagi mengelak Hasya keluar tanpa disedari oleh kami.



Pintu peti sejuk juga tidak terkecuali, setiap masa setiap saat akan dibuka olehnya. Padahal apa yang di cari tidak juga dijumpai. Lama juga mencari akal untuk mengelakkan Hasya daripada membuka pintu peti sejuk dan menyepah-nyepahkan barang di dalamnya. Kadang terasa juga nak marahkan orang yang buat peti sejuk ni. Kenapa la tak sediakan kunci sekali pada pintu peti sejuk tu! Akhirnya terdetik idea untuk meletakkan kunci pada pintu peti sejuk dengan meletakkan engsel bermangga. Harap-harap tak rosak peti sejuk kami dengan idea ni. Hahaha.. 




Apa yang pasti, Hasya tak lagi dapat bermaharajalela dengan sesuka hati membuka pintu peti sejuk tanpa tujuan. Buat sementara waktu, peti sejuk selamat dari menjadi mainan Hasya. Entah esok atau lusa apa lagi yang akan diterokainya.

Wallahu A’alam.