Thursday, September 17, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1430H


Selamat Hari Raya Aildilfitri dari kami sekeluarga.
Di hari yang baik, bulan yang mulia ini marilah kita bermaaf-maafan.
Mohon maaf andai ada salah dan silap sepanjang perkenalan secara sengaja atau pun tidak sengaja.
Kami juga memaafkan semua salah dan silap dari semua jika ada.
Moga dengan ini kita dapat berhari raya dengan wajah yang ceria dan penuh bermakna.
SELAMAT HARI RAYA..

Monday, September 14, 2009

Surah Al-Kautsar; Surah Penawar


Surah ini paling pendek, hanya mengandungi 3 ayat dan diturunkan di Makkah dan bermaksud sungai di syurga. Kolam sungai ini diperbuat daripada batu permata nan indah dan cantik.

Rasanya lebih manis daripada madu, warnanya pula lebih putih daripada susu dan lebih wangi daripada kasturi.

Surah ini disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad s.a.w. kerana diturunkan ketika baginda bersedih atas kematian 2 orang yang dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim dan bapa saudaranya Abu Talib.

Pelbagai khasiat terkandung di dalam surah ini dan boleh kita amalkan:-

1) Baca surah ini ketika hujan dan berdoa, mudah-mudahan Allah s.w.t. makbulkan doa kita.

2) Jika kita kehausan dan tiada air, bacalah surah ini dan gosok di leher, Insya'allah hilang dahaga.

3) Jika sering sakit mata, seperti berair, gatal, bengkak, sapukan air mawar yang sudah dibacakan surah ini sebanyak 10 kali pada mata.

4) Jika rumah dipercayai terkena sihir, baca surah ini 10 kali, mudah-mudahan Allah s.w.t. bagi ilham pada kita dimana letaknya sihir itu.

5) Jika membacanya 1,000 kali rezeki kita akan bertambah.

6) Jika rajin membacanya, hati kita akan menjadi lembut dan khusyuk ketika menunaikan solat.

7) Jika orang teraniaya dan terpenjara membacanya sebanyak 71 kali, Allah s.w.t. akan memberikan bantuan kepadanya kerana dia tidak bersalah tetapi dizalimi.

Perkara yang baik marilah kita amalkan selalu..

Wednesday, August 19, 2009

Salam Ramadhan 1430H & Selamat Menyambut Kemerdekaan Ke 52

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia

Tahun ni nampaknya negara kita merdeka dalam bulan Ramadhan, iaitu bulan umat Islam berpuasa dari makan dan minum. Oleh itu, sempena menghormati bulan ini negara kita tidak melakukan sambutan kemerdekaan seperti tahun-tahun sebelumnya. Pun begitu, kita sebagai rakyat Malaysia harus berbangga dengan apa yang kita kecapi sekarang ini. Walaupun pelbagai masalah di hadapi negara sepanjang 52 tahun kita merdeka seperti kemerosotan ekonomi dunia pada tahun 1998 dan terkini serangan wabak selesema H1N1 (selesema yang berpunca dari babi), namun kita masih lagi dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni.

Saya berpandangan walaupun negara kita bertelingkah dalam hal-hal politik berpartian, namun perkara ini tidak sampai membawa kepada kejatuhan negara sehingga tergadai dan berlaku darurat. Pada pemikiran saya ada baik buruknya kita berlainan pendapat kerana jika semua orang hanya mempunyai satu kata dan pandangan sahaja, saya jamin negara kita tidak akan mencapai pembangunan seperti yang kita boleh lihat sekarang. Semua orang tidak akan bekerja kuat kerana masing-masing menyerahkan pada yang mempunyai kuasa sahaja menjalankan tugasnya. Sedangkan dalam Islam, seorang yang bergelar pemimpin boleh ditegur oleh rakyat yang dipimpinnya sebagaimana sabda Nabi Muhammad saw yang merupakan pemimpin agung umat Islam ‘jika kamu melihat kemungkaran (perkara tidak baik), tegurlah..’

Berbanding negara yang sedang dikuasai orang luar sekarang ini, lihat sahaja Iraq yang telah diceroboh oleh tentera Amerika Syarikat dan sekutunya. Lihat pula kehidupan seharian rakyatnya selepas negara mereka di ceroboh. Mereka banyak menangis dari tertawa, sedangkan kita masih mampu senyum dan tertawa di negara sendiri. Fikir-fikirkanlah..

Maafkan saya jika pernyataan saya di atas menyentuh sensitiviti sesetengah individu dikalangan kita. Namun sesuatu perubahan tidak akan berlaku tanpa ada kesedaran dalam diri masing-masing. Dan kesedaran hanya timbul apabila ada sesuatu yang menyentuh hati sanubari.

Apa pun fokus saya bukanlah isu-isu di atas sebab saya bukannya berjuang kerana bermusuh dengan siapa-siapa, sebaliknya hanya sebagai bahan bacaan dan selingan sempena kita akan menyambut Ramadhan dan hari kemerdekaan negara kita yang bakal tiba.

Apa yang saya ingin kongsikan ialah pengalaman hidup dipedalaman. Satu perkara lagi yang menarik perhatian saya di sini ialah sungainya yang cantik dan masih terjaga dengan baik. Lihat saja gambar-gambar dibawah.. Udaranya? Cukup nyaman dan menyegarkan..




Tuesday, July 14, 2009

The truth 4x4 for the off road challenge

Hm, selepas kekecewaan tidak boleh bawa masuk VIVA ke sekolah sebelum ni, sekarang saya boleh berpuas hati dengan percaturan baru yang saya ambil dalam masa terdekat. Kalau sebelum ni saya tidak boleh berkenderaan ke sekolah di sebabkan jambatan runtuh dan terpaksa meredah sungai. Sekarang saya punya alternatif lagi untuk mencapai matlamat, iaitu membawa kenderaan sendiri masuk ke kawasan sekolah untuk kegunaan harian. Dengan itu, saya membeli sebuah Kembara baru-baru ini sebagai alternatif baru ke sekolah.

SELAMAT DATANG KEMBARA KU


VIVA sudah saya hantar balik ke semenanjung untuk kegunaan keluarga di sana. Lepas ni Kembara la menjadi pengangkutan untuk saya bergerak ke sana sini. Yang pasti saya tidak mahu terlepas solat Jumaat lagi lepas ni. Bukan sengaja tinggal solat Jumaat, tapi keadaan sekolah yang jauh di pedalaman membuatkan saya sukar untuk keluar lebih-lebih lagi tanpa kenderaan sendiri yang boleh di gunakan untuk tujuan itu. Saya harap Kembara yang saya beli ini banyak memberi faedah dan manfaat sepanjang saya berkhidmat di Sabah ni. Wallahu A’lam..

SELAMAT PULANG VIVA KU

Wednesday, July 8, 2009

PPSMI di mansuh!



Assalamualaikum,

Baru sebentar tadi saya lihat berita utama di tv3, Tan Sri Muhyidin Yassin merangkap Menteri Pelajaran mengumumkan isu yang sudah lama dibangkitkan sejak 2003, tahun ia mula dilaksanakan iaitu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ditarik balik. Setelah sekian lama ia dilaksanakan, kajian dan penelitian dilakukan terhadap keberkesanan pelaksanaan PPSMI ini. Jadi selepas ini, sains dan matematik akan di ajar kembali menggunakan bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu.

Saya selaku guru matematik sekolah rendah amat bersetuju dan berpendapat keputusan kerajaan kali ini amat tepat kerana mengambil maklum balas dari banyak pihak. Tidak hanya ibu bapa malah guru dan pelajar juga berpengaruh dalam mengubah senario ini. Bukan saya mahu kondem atau hentam PPSMI, tetapi lebih menjurus kepada pengalaman saya menjadi guru berdepan dengan anak-anak murid dan pandangan rakan-rakan sejawat mengenai PPSMI ini.

Mengikut pengalaman saya menjadi guru dan bergaul dengan guru-guru matematik yang lain, ada antara mereka yang mengeluh kerana sukar mahu memberikan pemahaman mata pelajaran di ajar kepada anak murid. Bukan kerana tidak boleh mengajar walaupun dalam bahasa Inggeris, sebaliknya mereka perlu mengambil masa yang lebih lama untuk memberikan kefahaman kepada anak didik masing-masing. Saya melihat isu ini dari dua perspektif. (1) Guru perlu menerangkan maksud setiap terjemahan ilmu yang disediakan dalam bahasa Inggeris. (2) Guru perlu memberikan asas penguasaan ilmu sains dan matematik untuk diterapkan dan dikuasai oleh murid. Bukankah ini 2 perkara yang perlu dilakukan oleh guru untuk mengajar hanya satu topik. Andai bahasa Melayu digunakan, guru hanya perlu melakukan perkara nombor 2 di atas kerana bahasa Melayu sememangnya bahasa yang sudah dikuasai oleh murid. Nah! Tinggal lagi murid hanya perlu menguasai ilmu sains dan matematik. Bukankah ini menjimatkan masa guru dan murid untuk menguasai sesuatu ilmu. Oleh hal yang demikian saya amat bersetuju dengan keputusan kementerian dalam hal ini.

Pun begitu, ramai juga guru-guru yang menyokong dan mempertahankan PPSMI kerana mereka merasakan adalah sesuai sekali bahasa Inggeris dilaksanakan dalam sains dan matematik. Mereka mengatakan subjek sains dan matematik adalah subjek mudah dan cepat dikuasai murid. Sebaliknya senario yang berlaku sekarang apabila kajian demi kajian dilakukan secara berperingkat sepanjang pelaksanaan PPSMI, hasil yang kita perolehi sekarang adalah kemerosotan peratusan murid yang skor untuk subjek sains dan matematik tahun demi tahun dan ini terbukti dengan pendedahan oleh Tan Sri Muhyidin Yassin sendiri pada malam ini. Jadi dimanakah yang dikatakan ‘mudah’nya ilmu sains dan matematik ini untuk dikuasai. Malah sebaliknya ada guru menyatakan keluhan kerana tidak puas mengajar subjek sains dan matematik ini dalam bahasa Inggeris kerana hasilnya murid tidak dapat atau lambat untuk menguasai ilmu sains dan matematik kerana kekangan dari aspek penggunaan bahasa penyampaian sesuatu ilmu.

Oleh itu, bersesuaian dengan perubahan dan keputusan yang telah dibuat oleh kementerian ini saya amat menyokong dan sebagai guru akan lebih kuat berusaha memastikan anak didik di bawah didikan saya selepas ini dapat menguasai ilmu sains dan matematik dan sekaligus menaikkan skor peratusan dua subjek berkenaan. Saya juga berharap semua guru yang mengajar subjek sains dan matematik dapat mengajar dengan lebih tekun dan bertanggungjawab tanpa memikirkan insentif yang sebelumnya dinikmati sepanjang pelaksanaan PPSMI.

Sekian untuk waktu ini, Wassalam..