Friday, February 19, 2010

Cinta Pasangan Burung

Gambar yang diambil oleh seorang jurufoto yang telah melariskan jualan akhbar di Perancis pada hari ia disiarkan.

Di sinilah pasangan (isteri? suami?) kepada burung layang-layang ini terlantar antara hidup atau mati, kerana dilanggar oleh kereta ketika terbang rendah.


Di sinilah ia menghantarkan makanan kepada pasangannya itu, dan menemaninya dengan penuh setia dan kasih sayang..


Sekali lagi ia terbang dan datang membawakan makanan, namun ia sangat terkejut apabila mendapati pasangannya telah mati.. Ia cuba menggerak-gerakkan pasangannya itu, satu keadaan yang jarang dilihat bagi burung atau binatang sepertinya..


Menyedari pasangannya sudah tidak bergerak, dan tidak akan kembali lagi kepadanya, ia mengeluarkan bunyi seolah-olah sedang menangisi pemergian itu dengan hiba..


Berdiri di sisi pasangannya yang sudah tidak bernyawa, merasa sedih dengan pemergian itu..


Dan akhirnya menerima hakikat bahawa pasangannya itu telah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.. Hidup menjadi sepi..


Begitulah kasih sayang yang Allah ciptakan antara sesama makhlukNya.. Manusia bagaimana?

Pastinya burung yang ditinggalkan pasangan.. Hidup menjadi sepi.. Kita manusia..??

P/S: Artikel ini diambil dari emel penulis untuk tatapan umum.

Saturday, January 30, 2010

3 Bulan 8 Hari

Anakanda Hasya dah pandai meniarap. Seronok tengok dia bergolek. Huhu.. Pantang letak sikit, terus dia bergolek ke kanan, apalagi meniaraplah..


~Step 1~


~Step 2~


~Step 3~

Rutin harian Hasya sekarang ni kalau hari sekolah dia pun bangun sama pagi-pagi lagi. Nasib baik dia tak merengek. Bangun, celik mata diam-diam dalam buai. Huhu.. Kalau tak, susah juga abah dengan ibu nak bersiap pergi sekolah.

Sepanjang waktu sekolah, Hasya akan duduk dengan pengasuh kami, kak Marina (merangkap tuan rumah kami menyewa sekarang). Kalau tak ada sukan atau mesyuarat kat sekolah, lebih kurang jam 2 petang Hasya kami ambil dah, bawa pulang. Kalau ada program petang kat sekolah, tinggallah Hasya kat rumah pengasuh tu sampai petang. Pernah juga kami ambil Hasya jam 7 petang. Apa nak buat tugas kat sekolah baru selesai. Mujurlah pengasuh Hasya tu sporting orangnya. Tak kisah Hasya duduk lama-lama dengan dia. Kami pun boleh tarik nafas lega.

Pengasuh Hasya ni ada empat orang anak. Tiga dah bersekolah. Jadi, yang tinggal kat rumah umurnya 4 tahun. Anaknya inilah peneman bermain Hasya kat sana. Anaknya ni namanya Maisarah, memang suka sangat bermain dengan Hasya. Pernah juga waktu hujung minggu tak sekolah, mak dia bawa dia datang rumah kami sebab Maisarah duk merengek nak jumpa Hasya. Huhu..

Tadi, Hasya meniarap lagi. Tapi tangan dia tersekat kat dada tak boleh keluar. Huhu.. Uh ah uh ah suara Hasya nak betulkan tangan dia. Ingatkan Hasya boleh buat sendiri. Abah biar je la. Last-last dia menangis. Hmm, mungkin dah penat duk meniarap kot. Barulah abah angkat. Merah muka Hasya. Hehe.. Lepas ni nak tengok Hasya tarik badan pulak. Kaki dia kuat menerjah lantai. Tapi tangan dia tak pandai control lagi. Macamana nak bergerak. Hasya, hurry up! Push your legs..

Sunday, January 24, 2010

Wajah Baru SK Londah

Assalamualaikum,

Masih terasa lagi sakit-sakit di badan ni dek kerana memunggah barang-barang sekolah sepanjang minggu lepas. Pada tahun ini SK Londah di arah oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNNS) beroperasi di bangunan baru. Setelah setahun bangunan ini siap dibangunkan, hanya tahun ini ianya dibenarkan untuk digunakan. Bangunan baru ini mempunyai dua blok, masing-masing setinggi 2 tingkat dan 3 tingkat. Segala apa yang diperlukan oleh sebuah sekolah, lengkap disediakan di bangunan baru ini. Pusat sumber yang luas dengan bilik BBM dan bilik tayang cukup selesa untuk penggunaan guru dan pelajar di sini. Malah kebanyakan bilik disediakan kemudahan penghawa dingin termasuk di bilik guru. Hmm, cukup selesa.. Dengan kata lain, ‘macam-macam ada..’


~Bangunan baru SK Londah~


Bangunan yang sedia ada sebelum ini juga dua blok dengan masing-masing 1 tingkat dan 2 tingkat masih tidak dapat menampung pertambahan pelajar dan bilik-bilik khas lain yang diperlukan seperti makmal komputer, makmal sains dan bengkel kemahiran hidup. Malah bilik SPBT hanya seluas stor peralatan sukan. Manakan dapat menampung jumlah buku teks yang banyak.


~Bangunan lama SK Londah yang seusia denganku~


Pelajar di SK Londah seramai 193 orang dengan guru berjumlah 15 orang akhirnya mendapat kemudahan yang cukup selesa selepas bangunan yang baru dapat digunakan. Namun, pada awal Januari ini kami guru-guru di SK Londah sibuk mengatur bilik-bilik dibangunan baru dan banyak berulang-alik dari bangunan baru ke bangunan lama mengambil barang-barang untuk dibawa ke bangunan baru. Sememangnya suatu kerja yang memenatkan dan memerlukan kesabaran yang tinggi.


~Guru dan murid bergotong-royong memunggah barang~


Apapun semangat kami, guru di SK Londah akan terus melonjak kuat mendidik anak-anak bangsa di Negeri Sembilan ini. Apa lagi setelah mendapat kemudahan baru yang cukup selesa dalam suasana serba baru. Wajah baru SK Londah kini diharapkan akan terus cemerlang sebagai sebuah institusi pendidikan dan dikenali gah di institusi pendidikan lain sekitarnya.


~Murid-murid SK Londah~

Monday, December 28, 2009

SK Londah, 1destinasi

Assalamualaikum,

Baru saja rasanya cuti sekolah. Tup.. tup.. dah nak mula sekolah lagi minggu depan ini. Tahun 2010 bakal membawa cabaran baru untuk saya meneruskan tugas mendidik anak-anak bangsa menjadi cerdik pandai.

Alhamdulillah,

Sepanjang setahun di SK Kironggu banyak pengalaman saya timba dan banyak kurang dan lebih yang dapat saya timbang setelah merasai suasana tika berada di Sabah berbanding semenanjung. Dalam tempoh itu juga saya melayari kehidupan berumahtangga dengan berjauhan untuk tempoh-tempoh mengajar di Sabah. Akhirnya, pada penghujung tahun 2009 saya membuat permohonan bertukar ke semenanjung untuk kembali bersama-sama isteri tercinta.

Hari ini, saya mendapat pengesahan pertukaran setelah permohonan saya yang buntu pada awalnya sehingga membawa kepada rayuan, akhirnya menemui jalan keluar. Bermula awal tahun 2010, saya akan meneruskan tugas mendidik di Sekolah Kebangsaan Londah, Gemas. Manakala isteri akan meneruskan tugasnya selepas menghabiskan cuti bersalin di sekolah asalnya, Sekolah Kebangsaan Kem Gemas.

Esok, saya dan keluarga akan berangkat ke Negeri Sembilan untuk mengatur awal kehidupan kami sebelum memulakan persekolahan 2010. Banyak yang bermain difikiran tika ini. Mencari rumah sewa, mencari pengasuh anak kecil kami… Hmm.. Kelengkapan rumah? Nak juga kan..

Apa pun, setinggi-tinggi kesyukuran pada ALLAH Yang Maha Esa. Dialah yang mengatur segala-galanya dan pemutus keputusan mutlak permintaan hamba-hambanya. Kita hanya merancang namun perancangan Tuhan adalah yang terbaik.

Buat teman seperjuangan di Sabah, La takhaf wala tahzan, Innallaha ma ana. Dalam tawa dan duka, ingatlah, ALLAH sentiasa bersama-sama kita.

Monday, December 7, 2009

Ayah, Abah, atau Abi?

Assalamualaikum,

Dulu saya selalu tanya kawan-kawan yang dah jadi ayah; apa perasaan jadi ayah ni? Jawapan yang saya biasa dengar; macam tak percaya la.. tiba-tiba jer dah ada baby..

Sekarang baru saya tahu perasaan ada baby sendiri. Alami sendiri perasaan bila baby menangis tengah-tengah malam, tak tahu nak buat apa. Sampaikan isteri pun tak tahu nak buat apa. Padahal kalau ikut logik, baby menangis bagi la susu ke. Ye tak? Kita ni suami memang la tak menyusu. Huhu.. Tapi walaupun dah disuakan susu, baby tetap menangis. Betul-betul mencabar kewibawaan nih. Akhirnya isteri bawa keluar baby tu bagi kat mak. Baru la diam. Rupanya, baby kami tu kembung. Mak sapu minyak kat perut dia. Baru la dia diam. Saya pun sambung tidur dan tinggallah isteri dan mak uruskan baby tu tidur lagi..


Hari ni Hasya dah berusia 46 hari. Sepanjang tempoh ni tak tahu la nak panggil apa. Kejap bahasakan diri ni ‘ayah’, kejap ‘abah’.. Entah la yang mana satu best. Nak suruh Hasya sendiri panggil pun dia tak tahu cakap lagi. Huhu.. Tapi Hasya dah pandai senyum bila kena agah. Yang cute tu senyum dia nampak lesung pipit. Eeee geram jer nak cubit.

Nak tidurkan Hasya pun satu hal. Letak jer dalam buai, ayun. Tapi kalau tak kena caranya sampai ke sudah dia tak tidur. Kurang-kurang kena la nyanyi, ye tak? Tapi lagu apa? Ada satu kali tangan mengayun buai, mulut nyanyi, tapi satu suara pun tak keluar.. haha.. Baru pertama kali ada anak. Segan la nak nyanyi-nyanyi ni. Pernah juga satu kali entah tengah fikir apa entah, kuar lagu raya mengiringi tidur Hasya. Padahal bukan musim raya pun. Ikut apa yang keluar dimulut jer.. Tapi sekarang tak segan dah. Tiap kali ayun Hasya tidur, mesti nyanyi kalimah ‘Lailahaillallah’.. Kejap je Hasya tidur.

Mandi, basuh berak Hasya belum lagi saya buat. Tapi tak apa, isteri back-up dulu la. Haha..

Apa lagi nak cerita ek? Ha! Best jadi baby ni rupanya. Murah rezeki.. Mahunya tak, tiap kali orang datang rumah tengok Hasya, mesti bagi duit. Tak pun bagi hadiah baju ker, tilam baby ker.. Kita kena kerja penat-penat dulu baru dapat duit. Hasya tidur jer dalam buai pun dapat duit gak.. Hmm, bestkan? Nasib baik Hasya dapat bapa macam saya. Duit orang bagi kat Hasya saya ambil simpan dalam bank. Kalau bapa lain entah la, silap haribulan buat beli rokok, ye tak? Hehe.. Maaf bapa-bapa di luar sana. Saja jer, gurau. Bapa mana abaikan anak dia kan? Semua bapa mahukan yang terbaik untuk anak dia..

Akhirnya, terima kasih banyak-banyak kat sayang sebab lahirkan seorang baby comel kat abang. Pesanan abang kat sayang, jangan asyik jaga baby jer.. Jaga abang juga ek.. huhu.. Mmuahh..

P/S: Tak sabar nak tengok Hasya pandai duduk, pandai merangkak, pandai berjalan, pandai bercakap..