“Kenapa kamu tidak mengambil sarapan pagi?” tanya saya lagi kepada salah seorang murid. “Tidak sempat cikgu.. Pagi tadi saya bangun lewat”. Murid yang lain pula menjawab “Kadang makan, kadang tidak..”
“Kenapa pula begitu?”
“Kalau mak suruh saya makanlah..” jawabnya lagi penuh keyakinan.
“Saya tidak pernah sarapan pagi, cikgu..” Sapa seorang lagi murid yang lain.
“Kenapa? bukan ke sarapan pagi bagus untuk kamu lebih bertenaga dalam kelas. Barulah tidak mengantuk untuk belajar.. Kamu belajar pun senang masuk dalam kepala.” Umpan saya.
“Kami miskin cikgu.. Kami tiada duit mahu beli makanan..” Jawabnya ringkas.
“Ayah kamu tidak belikan sarapankah?” umpan saya lagi.
“Ayah saya tiada lagi..”
“Mak kamu?”
“Mak saya tiada di sini..”
“Jadi kamu tinggal dengan siapa?” Tanya saya ingin tahu lebih lanjut.
“Dengan nenek saya..”
Kesian.. Keluh saya sendiri. Perbualan saya terhenti di situ untuk meneruskan pelajaran Pendidikan Moral pagi itu..
Perawakan murid ini agak sederhana. Tidak jauh berbeza dengan murid lain. Pun begitu, di antara murid lain saya boleh katakan murid ini adalah yang paling boleh diharapkan dalam semua perkara. Kalau disuruh, tanpa banyak soal dia akan lakukan. Dalam pergaulan dengan kawan-kawannya, dia sangat neutral. Tidak berpihak kekiri dan tidak kekanan. Pendek kata, dia ini boleh menjadi orang tengah dalam sengketa kumpulan pelajar. Dia banyak mengalah dalam banyak hal dengan kawan-kawannya. Pun begitu, dia tidak juga membiarkan dirinya dibuli kawan-kawan kerana pengundurannya dalam sesuatu silap faham yang berlaku.
Oleh kerana rumah murid ini jauh daripada sekolah, dia hanya pulang ke rumah pada waktu hujung minggu dan cuti persekolahan. Sepanjang minggu persekolahan dia akan tinggal di rumah guru bujang dan juga merupakan guru di sekolah saya yang terletak berdekatan dengan sekolah.
Kemuncak cerita ini ialah pada suatu petang, saya dan guru yang memberi tumpang murid ini dirumahnya makan petang semeja. Sambil itu kami berbual kosong. Entah macamana kisah murid ini masuk dalam topik perbualan kami tanpa sedar. Dari situlah saya mengetahui lebih lanjut berkenaan murid ini. Rupanya..
Murid ini hanya tinggal seorang diri dengan ditemani nenek dan datuknya sahaja. Adik beradiknya yang lain masing-masing tinggal berjauhan dengan makcik mereka. Ayahnya telah lama meninggal dunia. Ibunya pula telah berkahwin lain dan mengikut suami barunya tinggal di Tawau. Yang mengusik hati kecil saya ialah murid ini tahu ibunya tinggal di Tawau tetapi tidak pernah berjumpa ibunya semenjak ibunya berkahwin dan mengikut ayah tirinya ke Tawau. Malahan ibunya juga tidak pernah datang melihat murid ini di kampung yang ditinggalkan kepada neneknya. Yang merisaukan saya dokumen surat beranak murid ini hanya ada yang salinan sahaja kerana salinan asal sudah hilang. Untuk membuat surat beranak yang baru memerlukan ibu kandung membuat laporan polis dan mengusul ke pejabat pendaftaran untuk dikeluarkan surat beranak yang baru.
Sekarang murid ini berada di tahun 5 dan tahun depan dia akan menduduki peperiksaan UPSR..
Ini merupakan sebuah kisah benar yang dapat saya kongsikan dengan pembaca dan pengalaman saya sepanjang 5 bulan bergelar guru. Mungkin ada 1000 satu macam lagi kisah lain diluar sana yang tidak kita ketahui.
Saya tidak bertujuan mendedahkan aib sesiapa kerana menulis kisah begini. Namun sebagai anggota masyarakat yang prihatin, saya tertarik untuk berkongsi semua ini dengan pembaca blog ini.
Dan sebagai guru, saya berpendapat kitalah orang yang paling hampir dengan masyarakat terutama anak-anak kecil yang masih mencari-cari akar yang kukuh untuk berpaut. Oleh itu, seharusnya kita menggalas cabaran yang berat ini untuk terus berusaha dan berjuang memastikan setiap anak didik kita mendapat ilmu yang sepatutnya mereka kuasai sebagai bekal mereka menempuhi hidup yang mencabar di luar sana. Wassalam..
P/S : Selamat Hari Guru buat semua warga pendidik.. Khususnya warga pendidik di SK Kironggu, Telupid, Sabah..