Friday, November 27, 2009

Kisah Disebalik Aidiladha

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Sambutan Aidiladha dan ketibaan musim haji mengingatkan kita dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, isterinya Siti Hajar dan anaknya Ismail.

Kita mengetahuinya, kita mengingatinya, tapi adakah kita menghayatinya?

Kisah ini merupakan satu contoh ketaatan dan pengabdian, dan pengorbanan yang tiada tolok bandingnya. Ianya seharusnya menjadi iktibar kepada setiap umat Islam dalam hidup masing-masing. Dalam menghayatinya, marilah kita imbas kembali sejarah ini secara ringkas.

Sebelum kelahiran Nabi Ismail, perkahwinan Nabi Ibrahim bersama isterinya Siti Sarah ternyata tidak dapat menghasilkan zuriat yang amat dirindui oleh Nabi Ibrahim. Perlu diambil perhatian di sini, keinginan dan kerinduan Nabi Ibrahim terhadap zuriat yang memuncak itu bukan sekadar keinginan seorang lelaki untuk mempunyai penyambung zuriat, tetapi untuk melihat puteranya menyambung usahanya dalam menyebarkan iman kepada sekalian manusia. Impian yang disimpan Nabi Ibrahim bukan sekadar impian manusia biasa, tetapi impian yang amat tinggi lagi suci.

Siti Sarah sebagai wanita yang bijaksana dan isteri yang baik telah memberi izin kepada Nabi Ibrahim untuk mendekati dayangnya Siti Hajar. Hasil dari percampuran itulah lahirnya Ismail, putera pertamanya. Setelah bertahun-tahun mengidamkan seorang putera, sudah tentulah kasihnya terhadap Ismail tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Setelah kelahiran Ismail, Siti Sarah merasakan Nabi Ibrahim lebih banyak mendekati Hajar kerana terlalu gembira dengan putera pertamanya dan tunggal itu. Siti Sarah tidak tahan hati jika melihat Siti Hajar, dan meminta Nabi Ibrahim a.s supaya menjauhkannya dari matanya dan ditempatkan di tempat lain.

Untuk sesuatu hikmah yang belum diketahui dan disedari oleh Nabi Ibrahim, Allah telah mewahyukan kepadanya agar permintaan Sarah itu dipenuhinya dan dijauhkan Ismail bersama Hajar dari Sarah ke suatu tempat di mana Nabi Ibrahim sendiri belum memikirkannya.

Setelah berminggu dalam perjalanan, tibalah Nabi Ibrahim bersama Ismail dan ibunya Hajar di Makkah, tempat di mana Masjidil Haram sekarang berada. Di situlah Nabi Ibrahim meninggalkan Hajar bersama puteranya Ismail dengan keadaan sekitar yang tiada tumbuhan, tiada air mengalir, yang terlihat hanyalah batu dan pasir kering, sedang Nabi Ismail ketika itu masih menyusu.

Setelah bekalan makanan yang ada habis semuanya, susu badan Siti Hajar semakin mengering, sedang Ismail yang masih menyusu itu tidak henti-henti menangis. Hajar telah berlari (lari anak) menuju ke bukit Safa kalau-kalau ada sesuatu yang dapat membantu, namun sia-sia. Dari bukit Safa, Hajar melihat bayangan air di bukit Marwah, dan berlarilah hajar ke sana, namun ianya hanyalah bayangan fatamorgana. Hajar telah mundar mandir tujuh kali di antara bukit Safa dan Marwah.

Setelah melihat cebisan kisah yang berlaku sebelumnya, kita pergi pula kepada kisah korban itu sendiri. Dalam ketika Nabi Ismail mencapai umur dewasa, Nabi Ibrahim telah diwahyukan bahawa baginda harus menyembelih anaknya.

Kisah ini sudah kita semua ketahui, namun marilah kita hayati dengan lebih mendalam lagi. Bayangkan apa yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim ketika itu. Bayangkan apa perasaan seandainya kita berada di dalam situasi yang sama. Sebagai seorang ayah, yang sebelum itu telah bertahun-tahun mengidamkan seorang putera sehinggalah lahirnya Nabi Ismail, sudah tentulah kasih terhadap anaknya itu amat mendalam. Kini puteranya itu sudah pun di peringkat umur remaja di mana jasa-jasanya sudah dapat dimanfaatkan oleh seorang ayah, yang mana puteranya itulah yang diharapkan selama ini untuk menjadi pewaris dan penyambung keturunannya, serta penyambung risalah yang dibawa, tiba-tiba harus dijadikan korban dengan tangannya sendiri.

Ternyata ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim tiada tolok bandingnya lagi. Namun Nabi Ibrahim dengan keimanan yang jitu dan kecintaannya kepada Allah yang melebihi segalanya, bertekad untuk menurut perintah Allah tersebut. Ini adalah satu simbolik ketaatan yang tiada tolok bandingnya, puncak pengabdian kepada Allah, The Ultimate Obedience to Allah.

Di dalam perjalanan Nabi Ibrahim untuk melaksanakan korban itu sendiri, Nabi Ibrahim telah diganggu oleh syaitan sebanyak tiga kali. Namun Nabi Ibrahim tetap dengan tekadnya untuk menurut perintah Allah dan telah membaling batu kepada syaitan-syaitan tersebut.

Nabi Ibrahim juga telah tua ketika menerima wahyu tersebut. Namun, baginda tetap taat kepada perintah Allah. Lalu baginda bertemu dengan Ismail.

"Wahai anakku, sesungguhnya aku telah bermimpi seolah-olah aku menyembelihmu. Apakah pendapatmu tentang perkara ini?," tanya Nabi Ibrahim.

Sebagaimana yang diterjemahkan di dalam al-Quran, Ismail pun menjawab, "Wahai bapaku, kamu laksanakanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu. Insya-Allah kamu mendapatiku termasuk dalam golongan orang-orang yang sabar".

Nabi Ibrahim sungguh terharu mendengar kata-kata anaknya itu. Baginda tahu anaknya seorang yang tabah dan taat kepada Allah. Kemudian, baginda bersiap sedia menyembelih Ismail.

Sebelum disembelih, Ismail berpesan kepada bapanya: "Wahai ayahku, ikatlah badanku dengan kuat agar aku tidak meronta-ronta. Kemudian tanggalkanlah pakaianku agar tidak terkena darahku. Aku tidak mahu ibu bersedih apabila melihat pakaianku nanti. Tajamkanlah pisaumu dan percepatkanlah penyembelihanku agar dapat meringankan kesakitanku. Kemudian sampaikanlah salamku kepada ibu dan berikannya pakaianku sebagai tanda kenang-kenangan."

Nabi Ibrahim terus memeluk dan mencium anaknya.

"Aku sungguh bahagia mempunyai anak sepertimu yang taat kepada perintah Allah, berbakti kepada orang tua dan ikhlas hatinya," kata Nabi Ibrahim dalam nada sedih.

Selepas itu, Nabi Ibrahim pun menjalankan perintah tersebut. Baginda melakukannya seperti yang diminta oleh Ismail, tetapi pisau yang digerakkan di leher Ismail tidak berfungsi dan menjadi tumpul. Beberapa kali dicubanya tetapi gagal. Nabi Ibrahim berasa hairan lalu berdoa kepada Allah dan Allah terus berseru kepadanya:

"Wahai Ibrahim, sesungguhnya engkau telah melaksanakan mimpimu itu, demikianlah Kami membalas orang-orang yang berbuat kebaikan."

Nabi Ibrahim amat bersyukur kerana Ismail telah terselamat daripada disembelih. Tempat Ismail telah diganti dengan seekor kibas.

Daripada kisah ini, banyak pengajaran yang seharusnya kita hayati.

Dari kisah ini kita boleh lihat seorang bapa, seorang ibu, dan seorang anak yang taat sepenuhnya kepada Allah s.w.t dan sanggup mengorbankan apa sahaja dalam pengabdian kepadaNya.

Kita juga seharusnya mengambil iktibar dan sanggup bekorban apa sahaja termasuk mengorbankan perkara-perkara yang amat kita sayangi hatta nyawa kita sekalipun. Mungkin kita patut berubah daripada selalu mengungkapkan ungkapan seperti “kalau ada baju-baju lama tu bolehlah sedekahkan kat anak yatim dan orang miskin”, berubah kepada ungkapan-ungkapan seumpama “kalau ada baju-baju baru dan cantik tu bolehlah sedekah kat anak yatim dan orang miskin”, ataupun ungkapan seperti “kalau ada kereta-kereta baru tu bolehlah infaqkan fi sabilillah”. Sanggupkah? Adakah kita di antara yang mengambil pengajaran?

Kita boleh lihat bagaimana setelah Nabi Ibrahim bertekad untuk melaksanakan suruhan Allah, baginda telah diganggu oleh syaitan. Ini menunjukkan dalam usaha kita ke arah kebaikan, kita akan diganggu dan dihasut oleh syaitan, walaupun kita awalnya telah bertekad untuk mentaati perintah Allah. Untuk berazam dan bertekad untuk bekorban sudah sedia berat, dalam melaksanakannya nanti akan ada lagi dugaan-dugaan yang berupa syaitan-syaitan yang membisik. Marilah kita sentiasa berdoa agar diberikan kekuatan dan keteguhan iman.

Dalam ibadah haji, kita memperingati bagaimana Nabi Ibrahim menentang syaitan-syaitan yang mengganggunya dengan melontar ketiga-tiga jumrah. Melontar ketiga jumrah tersebut merupakan salah satu perkara wajib haji. Ianya simbolik kepada penentangan kita terhadap syaitan. Dalam perkara ini, kita boleh melihat bagaimana para jemaah haji melontar, sehingga ada yang melontar kasut dan sebagainya seakan begitu marah terhadap syaitan, namun setelah balik ke negara asal setelah melaksanakan haji, ramai yang kembali ‘berkawan’ semula serta mendengar ‘nasihat-nasihat’ daripada syaitan. Jadi di mana penghayatannya?

Semoga kita tergolong di kalangan orang-orang yang berfikir dan menghayati.

Wallahu A’lam..

P/S: Selamat Hari Raya Aidiladha 1430H kepada semua umat Islam.

Wednesday, November 25, 2009

Doa Kepada Bakal Haji

Assalamualaikum,

Bagi mereka yang pergi mengerjakan haji pada tahun 1430H ni. Esok 9 Zulhijjah, mereka akan mula melakukan ibadat haji dengan wukuf di padang Arafah. Jadi marilah sama-sama kita mendoakan mereka agar mereka semua mendapat haji yang mabrur dimana sesiapa yang diberikan oleh Allah haji yang mabrur balasannya tiada lain hanyalah syurga di akhirat nanti.


"Ya Allah, jadikanlah haji mereka haji yang mabrur, saie mereka saie yang disyukuri, dan perniagaan mereka perniagaan yang tidak akan rugi, dan dosa mereka dosa yang diampuni, dengan rahmatMu Ya Arhamarrahimin."

Saturday, November 7, 2009

Permulaan Musim Tengkujuh

Negara manakah akan bah(banjir) dahulu baru hujan?

Soalan teka-teki yang selalu ditanya bila tibanya musim tengkujuh. Maklumlah bila dah berkumpul di dalam rumah dan tiada aktiviti lain yang boleh dibuat, kami adik-beradik akan berbual-bual sambil masing-masing mengeluarkan apa sahaja kata-kata yang boleh menghilangkan boring. Apa tidaknya, di luar kilat dan petir sabung-menyabung, guruh berdentam-dentum, hujan lebat macam tiada tanda mahu berhenti. Waktu begini, ayah akan tutup suis utama elektrik. Jadi memang kami tak ada hiburan langsung untuk di dengar dan lihat. Semua kami akan berkurung sahaja di dalam rumah berbual dan bermain dengan kata-kata. Tapi ada juga bestnya. Selalunya waktu-waktu begini, mak akan rebus ubi kayu. Sejuk-sejuk begini memang syok dapat makan ubi kayu cecah gula sambil teguk kopi o panas. Slurrrp…


Tapi itu dulu, waktu masih kecil. Musim tengkujuh ibarat musim hibernate bagi orang-orang yang tinggal dikampung. Memang langsung tiada aktiviti lain yang boleh dibuat diluar rumah. Mahu keluar rumah, pasti basah kuyup bila menunggang basikal atau motorsikal. Mungkin inilah yang membuatkan orang kampung harmoni sahaja hidupnya. Masakan tidak banyak waktu dihabiskan bersama. Banyak masalah yang boleh dikongsi dan diselesaikan secara bersemuka.


Sekarang masa dan zaman berubah, banyak aktiviti dilakukan pada musim tengkujuh. Orang tidak lagi merasakan musim tengkujuh sebagai musim hibernate. Di Terengganu misalnya, Kerajaan negeri mengambil kesempatan musim angin kuat ini dengan mengadakan pertandingan bertaraf dunia, kapal layar monsoon cup di Pulau Duyung. Ramailah orang-orang kampung Pulau Duyung bergegas keluar menyaksikan kapal layar besar yang tak pernah-pernah dilihat sebelum ini. Kampung Pulau Duyung yang dulunya sepi, kini bising dengan sorak sorai mereka yang datang menyaksikan pertandingan kapal layar.


Setiap rumah kampung sekarang rata-rata mempunyai minimum 2 buah kereta di luar rumah. Hasil didikan yang baik dan kesedaran anak-anak yang diberikan pendidikan hingga bertaraf ijazah universiti, anak-anak mereka mampu memiliki kenderaan sendiri yang lebih selesa untuk keluarga. Musim tengkujuh sekali lagi bukan halangan lagi untuk mereka bergerak ke sana sini walaupun diluar hujan lebat turun mencurah-curah.


Sememangnya seronok bila mengimbau kenangan dulu. Suatu pengalaman hidup yang tak mungkin dilupakan. Suatu sejarah yang tak mungkin berulang. Suatu emosi yang sukar dititip kembali. Suatu rasa yang sukar diungkapkan. Suatu yang mereka yang mengalaminya sahaja mengerti akan sesuatu…


Jawapan teka-teki di atas: Negara Bahrain.