Saturday, January 30, 2010

3 Bulan 8 Hari

Anakanda Hasya dah pandai meniarap. Seronok tengok dia bergolek. Huhu.. Pantang letak sikit, terus dia bergolek ke kanan, apalagi meniaraplah..


~Step 1~


~Step 2~


~Step 3~

Rutin harian Hasya sekarang ni kalau hari sekolah dia pun bangun sama pagi-pagi lagi. Nasib baik dia tak merengek. Bangun, celik mata diam-diam dalam buai. Huhu.. Kalau tak, susah juga abah dengan ibu nak bersiap pergi sekolah.

Sepanjang waktu sekolah, Hasya akan duduk dengan pengasuh kami, kak Marina (merangkap tuan rumah kami menyewa sekarang). Kalau tak ada sukan atau mesyuarat kat sekolah, lebih kurang jam 2 petang Hasya kami ambil dah, bawa pulang. Kalau ada program petang kat sekolah, tinggallah Hasya kat rumah pengasuh tu sampai petang. Pernah juga kami ambil Hasya jam 7 petang. Apa nak buat tugas kat sekolah baru selesai. Mujurlah pengasuh Hasya tu sporting orangnya. Tak kisah Hasya duduk lama-lama dengan dia. Kami pun boleh tarik nafas lega.

Pengasuh Hasya ni ada empat orang anak. Tiga dah bersekolah. Jadi, yang tinggal kat rumah umurnya 4 tahun. Anaknya inilah peneman bermain Hasya kat sana. Anaknya ni namanya Maisarah, memang suka sangat bermain dengan Hasya. Pernah juga waktu hujung minggu tak sekolah, mak dia bawa dia datang rumah kami sebab Maisarah duk merengek nak jumpa Hasya. Huhu..

Tadi, Hasya meniarap lagi. Tapi tangan dia tersekat kat dada tak boleh keluar. Huhu.. Uh ah uh ah suara Hasya nak betulkan tangan dia. Ingatkan Hasya boleh buat sendiri. Abah biar je la. Last-last dia menangis. Hmm, mungkin dah penat duk meniarap kot. Barulah abah angkat. Merah muka Hasya. Hehe.. Lepas ni nak tengok Hasya tarik badan pulak. Kaki dia kuat menerjah lantai. Tapi tangan dia tak pandai control lagi. Macamana nak bergerak. Hasya, hurry up! Push your legs..

Sunday, January 24, 2010

Wajah Baru SK Londah

Assalamualaikum,

Masih terasa lagi sakit-sakit di badan ni dek kerana memunggah barang-barang sekolah sepanjang minggu lepas. Pada tahun ini SK Londah di arah oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNNS) beroperasi di bangunan baru. Setelah setahun bangunan ini siap dibangunkan, hanya tahun ini ianya dibenarkan untuk digunakan. Bangunan baru ini mempunyai dua blok, masing-masing setinggi 2 tingkat dan 3 tingkat. Segala apa yang diperlukan oleh sebuah sekolah, lengkap disediakan di bangunan baru ini. Pusat sumber yang luas dengan bilik BBM dan bilik tayang cukup selesa untuk penggunaan guru dan pelajar di sini. Malah kebanyakan bilik disediakan kemudahan penghawa dingin termasuk di bilik guru. Hmm, cukup selesa.. Dengan kata lain, ‘macam-macam ada..’


~Bangunan baru SK Londah~


Bangunan yang sedia ada sebelum ini juga dua blok dengan masing-masing 1 tingkat dan 2 tingkat masih tidak dapat menampung pertambahan pelajar dan bilik-bilik khas lain yang diperlukan seperti makmal komputer, makmal sains dan bengkel kemahiran hidup. Malah bilik SPBT hanya seluas stor peralatan sukan. Manakan dapat menampung jumlah buku teks yang banyak.


~Bangunan lama SK Londah yang seusia denganku~


Pelajar di SK Londah seramai 193 orang dengan guru berjumlah 15 orang akhirnya mendapat kemudahan yang cukup selesa selepas bangunan yang baru dapat digunakan. Namun, pada awal Januari ini kami guru-guru di SK Londah sibuk mengatur bilik-bilik dibangunan baru dan banyak berulang-alik dari bangunan baru ke bangunan lama mengambil barang-barang untuk dibawa ke bangunan baru. Sememangnya suatu kerja yang memenatkan dan memerlukan kesabaran yang tinggi.


~Guru dan murid bergotong-royong memunggah barang~


Apapun semangat kami, guru di SK Londah akan terus melonjak kuat mendidik anak-anak bangsa di Negeri Sembilan ini. Apa lagi setelah mendapat kemudahan baru yang cukup selesa dalam suasana serba baru. Wajah baru SK Londah kini diharapkan akan terus cemerlang sebagai sebuah institusi pendidikan dan dikenali gah di institusi pendidikan lain sekitarnya.


~Murid-murid SK Londah~