Saturday, July 16, 2011

Jangan Pernah Kita Sombong

16.7.2011 (Sabtu), 14 Syaaban 1432

Assalamualaikum,

Hayati lirik ini daripada In-Team.

Hai manusia…
Yang hidup di dalam dunia ini
Jangan kita lupa… pada godaan dunia
Hidup ini adalah kurniaan dari Tuhan
Dan hidup ini janganlah dibuang percuma

Jalan yang sempit
Yang membawa kepada kehidupan
Jalan yang luas
Yang membawa kepada kehancuran
Ramai orang yang melalui jalan yang luas itu
Sedikit orang yang melalui jalan sempit itu

Hai manusia
Yang hidup di dalam dunia ini
Jangan kita lupa… pada godaan dunia
Hidup ini adalah untuk sementara waktu
Apa yang ditanam
Itulah nanti yang dipetik

Entah apa persamaan lirik di atas daripada tajuk yang saya utarakan tersebut. Ianya datang dengan sendiri ketika sedang membaca majalah Anis edisi 166 sementara menunggu solat Isyak sebentar tadi. Tertarik dengan kandungan pada muka surat 8 maka saya kongsikan serba sedikit apa yang saya sudah baca.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Israa’ ayat 37.

“Dan janganlah kamu berjalan dimuka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.”

FirmanNya lagi dalam surah Luqman ayat 18.

“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.”

Sabda Rasulullah SAW.

“Tidak akan masuk syurga, seseorang yang di dalam hatinya ada seberat atom daripada sifat sombong.”

Subhanallah, pernah ke kita tidak sombong walaupun sebesar zarah (seberat atom)? Inilah yang bermain di fikiran saya. Malah, apa kata nabi? Orang ini tak masuk syurga Allah. Astaghfirullahal’azim.. Moga Allah mengampunkan dosa-dosa saya dan dosa-dosa kalian semuanya.

Sabda Rasulullah SAW lagi.

“Sesungguhnya Allah SWT adalah Maha Indah dan menyukai keindahan. Sifat sombong adalah mengabaikan kebenaran dan memandang rendah manusia yang lain.”

Rasulullah SAW bersabda melalui firman Allah SWT.

“Kemuliaan adalah pakaian-Ku, sedangkan sombong adalah selendang-Ku. Barangsiapa yang melepaskan keduanya daripada-Ku, maka Aku akan menyeksanya.”

Firman Allah SWT dalam surah Al-Mu’min ayat 76.

“(Dikatakan kepada mereka): Masuklah kamu ke pintu-pintu neraka jahanam, sedang kamu kekal di dalamnya. Maka itulah seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong.”

Jomlah tuan-tuan!

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa bermula hari ini di PWTC, Kuala Lumpur sehinga 23 Julai ini. Kalau tak sempat pergi sana pun apalah salah kiranya kita buka tv tengok bersama-sama anak-anak di dalam rumah yang kita anggap syurga dunia ini.

“RUMAH KU SYURGA KU”

Dan jangan lupa tuan-tuan.

Esok, 17.7.2011 adalah bersamaan 15 Syaaban atau kita selalu gelarkan sebagai hari Nisfu Syaaban. Hari yang mana kitab catatan amal kita di tutup dan di buka kitab catatan amal kita yang baru bagi satu tahun berikutnya. Maka bacalah doa akhir tahun selepas Asar dan doa awal tahun selepas Maghrib esok. Moga Allah memperelokkan catatan amalan kita bagi tahun berikutnya. InsyaAllah.

Sekian.

Sunday, July 3, 2011

Masjid Zaman Sekarang

3.7.2011 (Ahad), 1 Syabaan 1432



Assalamualaikum,


Masjid? Masjid adalah sebuah institusi yang mempunyai pelbagai fungsi dan kegunaan. Mungkin di kampung-kampung, anda tidak berapa nampak fungsi masjid selain hanya tempat untuk ‘solat berjamaah dan ceramah’. Kalau kita perhatikan pada masa kini semakin banyak masjid yang memperluaskan fungsinya sebagai tempat memberi manfaat kepada komuniti setempat.


Takrif masjid daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas menakrifkan..


Masjid adalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud tempat sujud. Masjid ialah tempat beribadat yang khusus, seperti solat dan iktikaf bagi orang Islam. Bangunan ini juga merupakan pusat kebudayaan, muamalat, dan perkembangan dakwah Islamiah, serta pusat aktiviti umat Islam. Masjid tidak mempunyai rupa bentuk yang tetap, tetapi bergantung kepada budaya masyarakat Islam setempat. Dari sudut bahasa, "masjid" bermaksud tempat bersujud.


Sejak zaman permulaan Islam lagi (Rasulullah s.a.w.), kemajuan umat dan gerakan Islam semuanya bermula dari masjid. Masjid telah dijadikan sebagai tempat untuk berkumpul, berbincang dan merancang strategi yang tidak terhad kepada bidang dakwah malah perdagangan, perundangan, dan penyebaran ilmu, serta pelbagai lagi.


Terdapat beberapa pertikaian mengenai takrif masjid. Ada mereka yang mengistilahkan semua tempat bersolat sebagai masjid. Bagaimanapun, takrif yang biasanya diterima guna adalah bahawa masjid merupakan tempat khas untuk bersolat dan telah digunakan untuk solat Jumaat melebihi tiga kali.


Tempat solat yang tidak mengadakan solat Jumaat lebih daripada tiga kali dikenali sebagai surau atau musala.


Ada 3 masjid utama yang dimuliakan umat Islam :


1. Masjidil Haram di Makkah - tempat Ka'bah, kiblat solat umat Islam.

2. Masjid Nabawi di Madinah

3. Masjidil Aqsa di Al-Quds (Jerusalem), Palestin


Di Malaysia, pembahagian tempat beribadat dibahagikan kepada beberapa pecahan iaitu:-


1. Masjid Negara

2. Masjid Negeri

3. Masjid Daerah

4. Masjid Qaryah

5. Surau


Apa isu yang saya nak ketengahkan daripada info di atas? Sebab ada ceritanya untuk saya coretkan..


Semalam saya ke Mines. Sebuah pusat beli belah yang dikenali ramai selain Lowyat dan Mid Valley. Selepas itu saya merancang untuk jamak solat di Masjid Putrajaya yang agak lama saya tinggalkan sejak berada di IPIS, Bangi suatu ketika dulu sebelum kembali ke Gemas. Saya sampai dimasjid itu pada jam 9.15 malam. Orang pun tidak ramai kerana Isyak sudah lama berlalu kira-kira 45 minit yang lalu.


Ketika saya masuk seorang petugas masjid bertanya. Nak sembahyang ker? Pantas saya menjawab, “Ya”. Saya teruskan berjalan ke ruang masjid selepas petugas itu mengangguk tanda kebenaran. Setiba di ruang luar pintu masjid saya tidak langsung menuju ke tempat wuduk ditingkat bawah sebaliknya bersiar-siar dahulu di ruang masjid yang luas itu mengambil angin sejuk menenangkan fikiran. Ada beberapa orang juga turut sama berada di situ. Agak lama, datang petugas masjid lain spontan menyapa. “Abang! Nak sembahyang ker nak melawat? Kalau nak melawat waktu melawat sampai jam 6 petang tadi jer. Sekarang tak boleh lagi….” Banyak lagi yang dibebelkan tapi saya lantas buat tidak peduli lalu meluru terus ke ruang wuduk di tingkat bawah meninggalkan petugas tadi seorang diri. Dalam hati ada juga rasa kurang senang dengan teguran itu. Niat mengerjakan solat terganggu oleh petugas tadi sampai terbawa-bawa di dalam solat.


Selesai solat, saya berfikir sendirian. Susah betul masuk masjid zaman sekarang berbanding zaman saya kecil-kecil dulu. Nak masuk masjid pun dah kena banyak soal. Belum pun nak mengerjakan solat. Patutlah masjid yang didirikan besar-besar tak ramai jemaahnya. Banyak sangat kekangan untuk masuk ke masjid. Padahal tiap-tiap kali ceramah atau kuliah-kuliah agama mesti ustaz itu akan kata, imarahkanlah masjid. Apa maksudnya tu? Maksudnya datang la ke masjid untuk solat. Tapi kalau nak masuk masjid pun macam itu lagaknya, siapa yang nak pergi? Nauzubillahi min zalik. Moga Allah jauhkan saya dari sifat-sifat tersebut.


Kalau masjid di kampung senang saja nak masuk. Malah boleh parking terus sampai depan pintu masjid. Tak ada pun orang nak tanya itu ini? Nak sembahyang bila-bila waktu pun boleh. Tak ada pun orang nak kacau. Siapa pun boleh datang. Barulah hati tenang nak buat ibadah.


Lamunan saya terhenti apabila isteri selesai solat. Kami sama-sama berjalan keluar masjid menuju ke parking kereta. Dalam kereta isteri bertanyakan saya, “Masjid ini tak ada petugas perempuan ker, abang? Dulu ada. Tapi tadi nak masuk lif ke tempat wuduk. Ada petugas lelaki datang tanya. Nak pergi mana? Sayang kata la nak ambil wuduk untuk solat. Lepas tu dia pun pergi.”


Saya tersenyum sendiri. Dalam hati, “Ingatkan aku sorang aje yang kena..”


P/S: Lepas ni nak pergi Masjid Sultan Mizan pula atau lebih dikenali sebagai Masjid Besi di Putrajaya.