Sunday, September 11, 2011

Cukai perkhidmatan 6%: PM perlu bertanggungjawab.

Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/175429


11/9/2011 (Ahad), 13 Syawal 1432H



Assalamualaikum,


Alhamdulillah masih dikurniakan akal yang waras, badan yang kuat, dan tubuh badan yang sihat untuk terus beribadat dan meneruskan hidup hingga ke sedutan nafas terakhir.


Saya tertarik dengan salah satu berita mengenai cukai perkhidmatan 6% ini kerana saya juga merupakan salah seorang penyumbang cukai tersebut. Daripada 5% dinaikkan lagi 6% dalam tempoh perlaksanaan Goods and service tax (GST) oleh kerajaan hari ini.


Sebelum saya teruskan, saya ingin menegaskan bahawa saya tidak menyokong mana-mana pihak dalam ulasan saya ini. Cuma saya tertarik untuk memberikan apa yang terfikir difikiran kurang cerdik saya ini untuk menyatakan pendirian saya dalam hal ini.


PM (Perdana Menteri) bijak dalam membuat keputusan mengadakan cukai perkhidmatan kepada mana-mana syarikat dalam negara. Ini berikutan ada syarikat yang mengaut keuntungan berlipat-lipat kali ganda dalam perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna. Ini bermakna syarikat perlu membayar cukai perkhidmatan yang dikenakan ke atas mereka kepada kerajaan atas keuntungan yang mereka dapat itu.


Namun begitu, syarikat tidak mahu menanggung cukai tersebut kerana bagi mereka ianya akan mengurangkan perolehan yang sepatutnya mereka dapat daripada perkhidmatan yang ditawarkan. Dengan itu, mereka mengelak dari membayar cukai itu dengan melepaskan beban itu kepada pengguna melalui bil-bil yang dihantar kepada mereka. Secara tidak langsung penggunalah yang menanggung cukai tersebut untuk diberikan kepada kerajaan.


Sebaliknya kerajaan pula tidak boleh campur tangan dalam urusan syarikat perkhidmatan ini yang melaksanakan strategi di mana pengguna yang perlu membayar cukai kerajaan ini. Maka berlakulah pada hari ini banyak syarikat perkhidmatan telah berani mengelak dari membayar cukai kerajaan dengan membebankan cukai itu kepada pengguna untuk membayarnya.


PM yang pada mulanya berpendirian tidak mahu membebankan rakyat tetapi sebaliknya rakyat dibebankan secara tidak langsung melalui jalan belakang. Jalan belakang itulah syarikat-syarikat perkhidmatan yang pandai mengelak cukai perkhidmatan dengan membebankannya kepada pengguna. Akhirnya PM kembali dipersalahkan kerana rakyat terbeban.


Saya berpandangan ada beberapa cara bagi mengelak rakyat terus dibebankan oleh syarikat tidak bertanggungjawab ini:


1. Kerajaan harus menurunkan kadar cukai perkhidmatan untuk mengelakkan dari syarikat perkhidmatan tidak mampu membayar cukai yang dikenakan ke atas mereka.


2. Wujudkan lebih banyak syarikat perkhidmatan yang menyediakan perkhidmatan yang sama supaya pengguna mempunyai pilihan untuk memilih perkhidmatan yang terbaik dan kurang membebankan mereka. Secara tidak langsung apabila ada banyak syarikat yang memberikan perkhidmatan yang sama, mereka perlu bersaing sesama sendiri untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk pelanggan mereka. Dengan itu, syarikat ini tidak mungkin meletakkan atau menaikkan kadar sesuka hati kepada pengguna.


3. Kerajaan harus berani mengambil tindakan tegas dengan melaksanakan syarat yang ketat kepada syarikat perkhidmatan yang mengenakan cukai perkhidmatan kepada pelanggan mereka dengan menarik balik lesen perniagaan mereka atau tidak menyambung lesen perniagaan mereka sekiranya mereka masih berdegil meminta pengguna yang membayar cukai tersebut.


Implikasi dari cukai yang dikenakan kepada pengguna:

1. Rakyat semakin terbeban dengan banyak cukai yang dikenakan terhadap perkhidmatan yang digunakan.


2. Kerajaan tidak rugi apa-apa kerana cukai masih lagi dibayar kepada mereka.


3. Syarikat perkhidmatan bertambah kaya-raya kerana mereka tidak perlu menanggung cukai yang dikenakan kerajaan kepada mereka.


Sekian saja buat renungan dan mengasah minda berfikir kita.