Wednesday, August 19, 2009

Salam Ramadhan 1430H & Selamat Menyambut Kemerdekaan Ke 52

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia

Tahun ni nampaknya negara kita merdeka dalam bulan Ramadhan, iaitu bulan umat Islam berpuasa dari makan dan minum. Oleh itu, sempena menghormati bulan ini negara kita tidak melakukan sambutan kemerdekaan seperti tahun-tahun sebelumnya. Pun begitu, kita sebagai rakyat Malaysia harus berbangga dengan apa yang kita kecapi sekarang ini. Walaupun pelbagai masalah di hadapi negara sepanjang 52 tahun kita merdeka seperti kemerosotan ekonomi dunia pada tahun 1998 dan terkini serangan wabak selesema H1N1 (selesema yang berpunca dari babi), namun kita masih lagi dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni.

Saya berpandangan walaupun negara kita bertelingkah dalam hal-hal politik berpartian, namun perkara ini tidak sampai membawa kepada kejatuhan negara sehingga tergadai dan berlaku darurat. Pada pemikiran saya ada baik buruknya kita berlainan pendapat kerana jika semua orang hanya mempunyai satu kata dan pandangan sahaja, saya jamin negara kita tidak akan mencapai pembangunan seperti yang kita boleh lihat sekarang. Semua orang tidak akan bekerja kuat kerana masing-masing menyerahkan pada yang mempunyai kuasa sahaja menjalankan tugasnya. Sedangkan dalam Islam, seorang yang bergelar pemimpin boleh ditegur oleh rakyat yang dipimpinnya sebagaimana sabda Nabi Muhammad saw yang merupakan pemimpin agung umat Islam ‘jika kamu melihat kemungkaran (perkara tidak baik), tegurlah..’

Berbanding negara yang sedang dikuasai orang luar sekarang ini, lihat sahaja Iraq yang telah diceroboh oleh tentera Amerika Syarikat dan sekutunya. Lihat pula kehidupan seharian rakyatnya selepas negara mereka di ceroboh. Mereka banyak menangis dari tertawa, sedangkan kita masih mampu senyum dan tertawa di negara sendiri. Fikir-fikirkanlah..

Maafkan saya jika pernyataan saya di atas menyentuh sensitiviti sesetengah individu dikalangan kita. Namun sesuatu perubahan tidak akan berlaku tanpa ada kesedaran dalam diri masing-masing. Dan kesedaran hanya timbul apabila ada sesuatu yang menyentuh hati sanubari.

Apa pun fokus saya bukanlah isu-isu di atas sebab saya bukannya berjuang kerana bermusuh dengan siapa-siapa, sebaliknya hanya sebagai bahan bacaan dan selingan sempena kita akan menyambut Ramadhan dan hari kemerdekaan negara kita yang bakal tiba.

Apa yang saya ingin kongsikan ialah pengalaman hidup dipedalaman. Satu perkara lagi yang menarik perhatian saya di sini ialah sungainya yang cantik dan masih terjaga dengan baik. Lihat saja gambar-gambar dibawah.. Udaranya? Cukup nyaman dan menyegarkan..




Tuesday, July 14, 2009

The truth 4x4 for the off road challenge

Hm, selepas kekecewaan tidak boleh bawa masuk VIVA ke sekolah sebelum ni, sekarang saya boleh berpuas hati dengan percaturan baru yang saya ambil dalam masa terdekat. Kalau sebelum ni saya tidak boleh berkenderaan ke sekolah di sebabkan jambatan runtuh dan terpaksa meredah sungai. Sekarang saya punya alternatif lagi untuk mencapai matlamat, iaitu membawa kenderaan sendiri masuk ke kawasan sekolah untuk kegunaan harian. Dengan itu, saya membeli sebuah Kembara baru-baru ini sebagai alternatif baru ke sekolah.

SELAMAT DATANG KEMBARA KU


VIVA sudah saya hantar balik ke semenanjung untuk kegunaan keluarga di sana. Lepas ni Kembara la menjadi pengangkutan untuk saya bergerak ke sana sini. Yang pasti saya tidak mahu terlepas solat Jumaat lagi lepas ni. Bukan sengaja tinggal solat Jumaat, tapi keadaan sekolah yang jauh di pedalaman membuatkan saya sukar untuk keluar lebih-lebih lagi tanpa kenderaan sendiri yang boleh di gunakan untuk tujuan itu. Saya harap Kembara yang saya beli ini banyak memberi faedah dan manfaat sepanjang saya berkhidmat di Sabah ni. Wallahu A’lam..

SELAMAT PULANG VIVA KU

Wednesday, July 8, 2009

PPSMI di mansuh!



Assalamualaikum,

Baru sebentar tadi saya lihat berita utama di tv3, Tan Sri Muhyidin Yassin merangkap Menteri Pelajaran mengumumkan isu yang sudah lama dibangkitkan sejak 2003, tahun ia mula dilaksanakan iaitu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ditarik balik. Setelah sekian lama ia dilaksanakan, kajian dan penelitian dilakukan terhadap keberkesanan pelaksanaan PPSMI ini. Jadi selepas ini, sains dan matematik akan di ajar kembali menggunakan bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu.

Saya selaku guru matematik sekolah rendah amat bersetuju dan berpendapat keputusan kerajaan kali ini amat tepat kerana mengambil maklum balas dari banyak pihak. Tidak hanya ibu bapa malah guru dan pelajar juga berpengaruh dalam mengubah senario ini. Bukan saya mahu kondem atau hentam PPSMI, tetapi lebih menjurus kepada pengalaman saya menjadi guru berdepan dengan anak-anak murid dan pandangan rakan-rakan sejawat mengenai PPSMI ini.

Mengikut pengalaman saya menjadi guru dan bergaul dengan guru-guru matematik yang lain, ada antara mereka yang mengeluh kerana sukar mahu memberikan pemahaman mata pelajaran di ajar kepada anak murid. Bukan kerana tidak boleh mengajar walaupun dalam bahasa Inggeris, sebaliknya mereka perlu mengambil masa yang lebih lama untuk memberikan kefahaman kepada anak didik masing-masing. Saya melihat isu ini dari dua perspektif. (1) Guru perlu menerangkan maksud setiap terjemahan ilmu yang disediakan dalam bahasa Inggeris. (2) Guru perlu memberikan asas penguasaan ilmu sains dan matematik untuk diterapkan dan dikuasai oleh murid. Bukankah ini 2 perkara yang perlu dilakukan oleh guru untuk mengajar hanya satu topik. Andai bahasa Melayu digunakan, guru hanya perlu melakukan perkara nombor 2 di atas kerana bahasa Melayu sememangnya bahasa yang sudah dikuasai oleh murid. Nah! Tinggal lagi murid hanya perlu menguasai ilmu sains dan matematik. Bukankah ini menjimatkan masa guru dan murid untuk menguasai sesuatu ilmu. Oleh hal yang demikian saya amat bersetuju dengan keputusan kementerian dalam hal ini.

Pun begitu, ramai juga guru-guru yang menyokong dan mempertahankan PPSMI kerana mereka merasakan adalah sesuai sekali bahasa Inggeris dilaksanakan dalam sains dan matematik. Mereka mengatakan subjek sains dan matematik adalah subjek mudah dan cepat dikuasai murid. Sebaliknya senario yang berlaku sekarang apabila kajian demi kajian dilakukan secara berperingkat sepanjang pelaksanaan PPSMI, hasil yang kita perolehi sekarang adalah kemerosotan peratusan murid yang skor untuk subjek sains dan matematik tahun demi tahun dan ini terbukti dengan pendedahan oleh Tan Sri Muhyidin Yassin sendiri pada malam ini. Jadi dimanakah yang dikatakan ‘mudah’nya ilmu sains dan matematik ini untuk dikuasai. Malah sebaliknya ada guru menyatakan keluhan kerana tidak puas mengajar subjek sains dan matematik ini dalam bahasa Inggeris kerana hasilnya murid tidak dapat atau lambat untuk menguasai ilmu sains dan matematik kerana kekangan dari aspek penggunaan bahasa penyampaian sesuatu ilmu.

Oleh itu, bersesuaian dengan perubahan dan keputusan yang telah dibuat oleh kementerian ini saya amat menyokong dan sebagai guru akan lebih kuat berusaha memastikan anak didik di bawah didikan saya selepas ini dapat menguasai ilmu sains dan matematik dan sekaligus menaikkan skor peratusan dua subjek berkenaan. Saya juga berharap semua guru yang mengajar subjek sains dan matematik dapat mengajar dengan lebih tekun dan bertanggungjawab tanpa memikirkan insentif yang sebelumnya dinikmati sepanjang pelaksanaan PPSMI.

Sekian untuk waktu ini, Wassalam..

Sunday, May 17, 2009

Selamat Hari Guru

“Siapa yang datang sekolah mengambil sarapan pagi?”. Hanya tiga orang daripada sepuluh orang pelajar dalam kelas tahun 4 dan 5 yang digabung kerana kekurangan murid mengangkat tangan. Begitu sedikit sekali pelajar yang mengambil sarapan pagi sebelum datang sekolah. Pun begitu tiada apa yang perlu saya kesalkan kerana saya juga sewaktu seusia mereka selalu tidak mengambil sarapan pagi sebelum melangkah kaki ke sekolah setiap pagi walaupun saya tahu sarapan pagi perlu untuk tubuh kita mendapat tenaga secukupnya sebagai persediaan untuk belajar di sekolah.

“Kenapa kamu tidak mengambil sarapan pagi?” tanya saya lagi kepada salah seorang murid. “Tidak sempat cikgu.. Pagi tadi saya bangun lewat”. Murid yang lain pula menjawab “Kadang makan, kadang tidak..”

“Kenapa pula begitu?”
“Kalau mak suruh saya makanlah..” jawabnya lagi penuh keyakinan.

“Saya tidak pernah sarapan pagi, cikgu..” Sapa seorang lagi murid yang lain.
“Kenapa? bukan ke sarapan pagi bagus untuk kamu lebih bertenaga dalam kelas. Barulah tidak mengantuk untuk belajar.. Kamu belajar pun senang masuk dalam kepala.” Umpan saya.

“Kami miskin cikgu.. Kami tiada duit mahu beli makanan..” Jawabnya ringkas.
“Ayah kamu tidak belikan sarapankah?” umpan saya lagi.
“Ayah saya tiada lagi..”
“Mak kamu?”
“Mak saya tiada di sini..”
“Jadi kamu tinggal dengan siapa?” Tanya saya ingin tahu lebih lanjut.
“Dengan nenek saya..”

Kesian.. Keluh saya sendiri. Perbualan saya terhenti di situ untuk meneruskan pelajaran Pendidikan Moral pagi itu..

Perawakan murid ini agak sederhana. Tidak jauh berbeza dengan murid lain. Pun begitu, di antara murid lain saya boleh katakan murid ini adalah yang paling boleh diharapkan dalam semua perkara. Kalau disuruh, tanpa banyak soal dia akan lakukan. Dalam pergaulan dengan kawan-kawannya, dia sangat neutral. Tidak berpihak kekiri dan tidak kekanan. Pendek kata, dia ini boleh menjadi orang tengah dalam sengketa kumpulan pelajar. Dia banyak mengalah dalam banyak hal dengan kawan-kawannya. Pun begitu, dia tidak juga membiarkan dirinya dibuli kawan-kawan kerana pengundurannya dalam sesuatu silap faham yang berlaku.

Oleh kerana rumah murid ini jauh daripada sekolah, dia hanya pulang ke rumah pada waktu hujung minggu dan cuti persekolahan. Sepanjang minggu persekolahan dia akan tinggal di rumah guru bujang dan juga merupakan guru di sekolah saya yang terletak berdekatan dengan sekolah.

Kemuncak cerita ini ialah pada suatu petang, saya dan guru yang memberi tumpang murid ini dirumahnya makan petang semeja. Sambil itu kami berbual kosong. Entah macamana kisah murid ini masuk dalam topik perbualan kami tanpa sedar. Dari situlah saya mengetahui lebih lanjut berkenaan murid ini. Rupanya..

Murid ini hanya tinggal seorang diri dengan ditemani nenek dan datuknya sahaja. Adik beradiknya yang lain masing-masing tinggal berjauhan dengan makcik mereka. Ayahnya telah lama meninggal dunia. Ibunya pula telah berkahwin lain dan mengikut suami barunya tinggal di Tawau. Yang mengusik hati kecil saya ialah murid ini tahu ibunya tinggal di Tawau tetapi tidak pernah berjumpa ibunya semenjak ibunya berkahwin dan mengikut ayah tirinya ke Tawau. Malahan ibunya juga tidak pernah datang melihat murid ini di kampung yang ditinggalkan kepada neneknya. Yang merisaukan saya dokumen surat beranak murid ini hanya ada yang salinan sahaja kerana salinan asal sudah hilang. Untuk membuat surat beranak yang baru memerlukan ibu kandung membuat laporan polis dan mengusul ke pejabat pendaftaran untuk dikeluarkan surat beranak yang baru.

Sekarang murid ini berada di tahun 5 dan tahun depan dia akan menduduki peperiksaan UPSR..

Ini merupakan sebuah kisah benar yang dapat saya kongsikan dengan pembaca dan pengalaman saya sepanjang 5 bulan bergelar guru. Mungkin ada 1000 satu macam lagi kisah lain diluar sana yang tidak kita ketahui.

Saya tidak bertujuan mendedahkan aib sesiapa kerana menulis kisah begini. Namun sebagai anggota masyarakat yang prihatin, saya tertarik untuk berkongsi semua ini dengan pembaca blog ini.

Dan sebagai guru, saya berpendapat kitalah orang yang paling hampir dengan masyarakat terutama anak-anak kecil yang masih mencari-cari akar yang kukuh untuk berpaut. Oleh itu, seharusnya kita menggalas cabaran yang berat ini untuk terus berusaha dan berjuang memastikan setiap anak didik kita mendapat ilmu yang sepatutnya mereka kuasai sebagai bekal mereka menempuhi hidup yang mencabar di luar sana. Wassalam..



P/S : Selamat Hari Guru buat semua warga pendidik.. Khususnya warga pendidik di SK Kironggu, Telupid, Sabah..

Monday, May 4, 2009

Cuti-cuti Malaysia.. Banyak tempat untuk dilawati..

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Sedar tak sedar sudah hampir 5 bulan saya bertugas di Sabah ni. Rasa sekejap je hari-hari berlalu sekarang ni kan? Selalunya hujung minggu di sini cukup memboringkan kalau tiada pengisian aktiviti-aktiviti best. Tapi itu dulu la.. Sebelum saya punya kereta di sini. Sekarang tidak lagi, dengan VIVA boleh dikatakan setiap hujung minggu saya keluar. Rutin saya sekarang setiap hujung minggu saya dan rakan-rakan akan berkumpul di Telupid, sebuah pekan terpencil di tengah-tengah Sabah. Bila dah berkumpul ni baru la kami putuskan mahu ke destinasi mana untuk habiskan cuti hujung minggu.

So, sepanjang 5 bulan ni banyak juga la tempat yang saya dah pergi di Sabah dan akan saya kongsikan dengan semua pembaca blog ni. Mungkin ini sebahagian saja tempat menarik di Sabah, tapi berbaloi la untuk 5 bulan di sini kan? Nanti akan saya update lagi mengenai tempat-tempat menarik lain di Negeri Di Bawah Bayu ni..

BUKIT BENDERA

Bukit bendera ni letak dia di tengah-tengah Kota Kinabalu. Sekitar dia ada Dataran Merdeka, perhentian bas, dan berdekatan dengan Kg Air. Apa yang menarik di sini ialah menara peninjau yang di bangunkan di lereng bukit. Dari situ kita boleh lihat bangunan-bangunan di Bandar Kota Kinabalu dan pemandangan laut yang cantik dengan kapal-kapal yang besar.


*Menara peninjau*



*Cantikkan view dia? Satu bandar boleh nampak*



*View laut pun cantik*


GUNUNG KINABALU

Jom naik gunung kinabalu! Ada kawan saya ajak naik gunung ni. Dia kata alang-alang datang Sabah tidak sah kalu tak daki gunung kinablu. Dari informasi yang kawan saya tanyakan kalau mahu daki gunung ni kena bayaran RM200 seorang lengkap dengan peralatan untuk pendakian. Pun begitu, pendaftaran perlu di buat awal dan proses pendakian hanya boleh dilaksanakan selepas setahun mendaftar untuk mendaki. So, kalu mahu daki juga gunung setinggi 4 095 meter dari aras laut ni, terpaksa la rancang awal-awal.


*Gunung tertinggi di Malaysia*



*Siapa kata Gunung Kinabalu tinggi? Acu tengok betul-betul..*


KARAMBUNAI

Hah! Pernah dengar tak pasal Karambunai ni? Saya pun baru sekali sampai sana. Rupanya ada tempat berkelah yang cantik juga. Karambunai ni seakan-akan pusat rekreasi la kalu di semenanjung. Apa taknya ada banyak aktiviti air di sini. Antaranya naik pelampung dengan ditarik bot. Uih, bestnyer tengok orang lain naik. Huhu.. Sendiri pun belum merasa lagi naik mendalah tu. Pun begitu, sekali masuk kena bayaran RM10 seorang dan kalau mahu bermain permainan yang disediakan di sini perlukan bayaran tambahan bergantung pada permainan apa yang korang mahu main. Di sini merupakan kuala yang menghubungkan laut dengan sungai. So, tempat pertembungan antara air masin dengan air tawar la ni kiranya. Kalau korang susah memikirkan tempat perkelahan untuk buat kem pelajar sekolah, Karambunai adalah satu tapak sesuai untuk dipertimbangkan.


*Welcome to Karambunai*



*Jeti Karambunai*



*Dapat posing atas bot tak bergerak pun jadi la..*



*Kalau mahu menginap, boleh datang resort ni*



*Tapi bayaran dia mak datuk! In range RM880-RM10 000..*


RESTORAN GANYANG

Hmm, tak pasti la.. Ganyang ke Gayang? Tapi yang aku pasti kalau dah merasa makanan kat sini pasti tak lupa untuk datang lagi. Letaknya di Jalan Sulaman Kota Kinabalu berdekatan dengan Sepangar. Di restoran ni ada banyak makanan terutama seafood yang segar-segar. Pilih saja yang mana mahu dari dalam akuarium tu, nanti diorang akan sajikan dalam masa yang singkat. Mahu bakar? Goreng celup tepung? Masakan tiga rasa? Fuh, pasti tak kering air liur memikirkan semua tu. Huhu..


*Meh pilih udang*



*Banyaknya lauk*



*Ikan masak tiga rasa*



*Kenyang betul.. Siapa mahu bayar ni?*


MASJID NEGERI SABAH

Dah seronok-seronok dengan nikmat dunia ni kan as a muslim apa kata kita singgah solat di Masjid Negeri Sabah ni dulu. Letaknya betul-betul di tengah bandar berdekatan bangunan MUIS dan Wisma Persekutuan. Dalam tu ada air-con lagi. Tapi kena naik sembahyang dalam dewan solat utama la baru merasa air-con.


*Masjid Negeri Sabah*



*Apa la diorang ni buat. Tak sudah-sudah posing..*


PORING, RANAU

Kalau di Terengganu ada Kolam Air Panas La, di sini pun ada juga Hot Spring, Ranau. Cuma di sini ada panas lagi air dia. Ada kawan saya kata air panas di sini boleh kasi masak telur kalau rendam lama-lama. Entah la, aku pun tak cuba test masak telur kat situ. Pun begitu saya akui memang panas juga la air dia. Terpaksa campur dengan air sejuk sket. Huhu.. Kalau tak, boleh masak juga kulit ni.. Bayaran masuk sini untuk dewasa RM3 seorang dan kalau bawah 18 tahun kena bayaran RM1 je seorang. Ada tujuh tingkat air terjun semuanya, pun begitu satu tingkat pun tak naik hari tu sebab kami fokus untuk mandi air panas je masa tu. Jadi duk mandi-manda kat bawah je la. Kalau mahu panjat sampai tujuh tingkat tu mahu cecah separuh hari juga tu.. Maybe lain hari kot.


*Ticket please..*



*Rujuk peta dulu, kang sesat nanti*



*Pintu masuk Poring*



*Jambatan gantung*



*Nak mandi kolam yang besar ni ke?*



*Atau yang kecil ni?*



*Dah puas mandi kan? Jom! pulang..*


PANTAI TANJUNG ARU

Pantai Tanjung Aru ni memang terkenal la di Sabah ni. Tidak perlu bertanya panjang, ramai yang tahu tempat ni. Aktiviti best, mandi air laut yang memanjang cetek dan menikmati ikan bakar. Syok juga la. Letaknya dekat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu Terminal 2. Tapi aku tak mandi pun datang sini, terlalu terbuka la tempat dia. Kalau tak malu boleh je mandi-manda kat sana. Pepun, kalau tak mandi, pe lagi yang boleh aku syorkan kat situ.. Cuci mata la tengok orang lain mandi. Haha..


*Hmm, mana mahu pergi ni aaa?*



*Cantik kan pantai dia*



*Ni baru dinamakan 'cuci mata'*



*Bersama kawan-kawan seperguruan*


Kalau rasa mahu pergi shopping kat Sabah boleh kunjungi Kompleks Karamunsing, City Parade atau pun Center Point, dan One Borneo..


*Kompleks Karamunsing*



*City Parade*



*One Borneo*


Ni foto-foto yang sempat saya rakamkan as kenangan di Sabah ni.


*Barbeque Sotong dan Udang Bakar malam sebelum pergi Poring*



*Barbeque ikan bakar pun ada*



*Ada gaya tak jadi promoter Hotlink*



*Tempat jauh lagi dikenang, apa lagi tempat sendiri kan? Rindunya sama wife ku nun di seberang sana*


Wokeylah, dah tengah malam ni. Saya pun dah mengantuk nak taip lagi. Nantilah akan saya update lagi di lain masa. Wassalam..