Saturday, October 23, 2010

Selamat Hari Lahir Anakku

22/10/2010

SELAMAT HARI LAHIR, HASYA!

Hari ni genap Hasya setahun. Dah besar rupanya anak abah ni. Diam tak diam dah setahun usia Hasya. Petang tadi pergi Segamat dalam hujan lebat semata-mata nak cari kek hari jadi Hasya. Walaupun Hasya tak tahu apa pun pasal hari jadi. Tapi rasanya abah dan ibu yang akan makan kek tu nanti. Huhu..

Apa perkembangan terbaru anak abah sorang ni ek? Dari bergolek, meniarap, menjulur, merangkak. Semuanya Hasya khatam dengan cepat. Tak perlu bantuan sesiapa dan tak cecah usia sepatutnya pun Hasya dah buat semua tu dengan baik.

Cuma tinggal lagi bab berjalan jer Hasya masih belum khatam dengan baik. Kenapa ye? Mungkin Hasya lebih selesa merangkak kot sebab boleh bergerak dengan lebih cepat dari berjalan. Pun begitu dalam keadaan tak terdesak sesekali Hasya bangun juga berdiri dan cuba mengangkat kaki melangkah selangkah..

Dua Langkah..

Tiga langkah..

Empat langkah..

Lima langkah..

Dan akhirnya berhenti. Entah apa yang difikirnya lama. Kemudian duduk. Apabila ada yang lebih menarik perhatiannya yang agak jauh dari tempat duduknya dia akan merangkak dengan lajunya. Tiada lagi berjalan.. Huhu. Cepat Hasya. Semua orang mahu tengok Hasya berjalan ni. Pun begitu, abah dan ibu bersyukur sangat sebab Hasya membesar tanpa banyak karenah dan kesihatan Hasya sangat baik. Sempurna semuanya.. Thank you Allah..

Gotong-royong Rumah Baru

16/10/2010

Assalamualaikum,

Lama tak update blog (ayat lama.. haha..). Bukan apa, tak berkesempatan dari segi masa. Namun, cerita sokmo ada.

Alhamdulillah,

Sejak elaun berkurang selepas pulang dari Sabah awal tahun lalu saya masih dikurniakan rezeki yang mencukupi oleh Allah SWT sehingga ke hari ini. Syukur sangat dan setinggi-tinggi pujian kepada Allah, Tuhan yang telah menetapkan rezeki kepada hamba-hambanya tanpa kita sedari..

Terbaru, pada awal bulan ini saya telah dimudahkan dan dimurahkan rezeki dengan pembelian sebuah rumah untuk saya duduki seisi keluarga. Rumah ini merupakan rumah semi-D (berkembar dua) di Taman Sungai Gemas. Kok mungkin jadi orang nogori la esey (ganti nama aku bagi orang nogori) nanti.

Pun begitu, rumah ini perlu di baik pulih dahulu sebelum boleh diduduki. Oleh kerana tuan rumah sudah lama tidak tinggal dirumah ini, maka banyaklah semak samun yang perlu dibuang dan beberapa struktur dalam rumah juga perlu diganti dan diperkukuhkan.

Maka, pada tarikh di atas berkunjunglah mak mertua dan adik ipar saya ke sini membantu mengerjakan semak samun di sekitar kawasan rumah. Saya tidak terkecuali membantu. Tapi rasanya banyak ruang berehat daripada bekerja. Tidak seperti adik ipar yang tekun mengerjakan semak samun yang meliar tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Bukan nak mengelak. Tapi maklum sajalah bila rumah dibeli dikawasan taman dan merupakan laluan keluar masuk warga taman melalui jalan di hadapan rumah ini, maka ramailah rakan-rakan yang mengenali singgah bertanyakan khabar berkenaan rumah yang saya beli ini. Tak kurang juga yang tak kenal langsung pun ada yang singgah. Mahu tak mahu, terpaksa jugalah melayan seketika. Kalau tak nanti dikatakan sombong pula kan? Sedangkan saya juga masih baru lagi di sini. Belum mengerti budaya dan adat resam masyarakat di negeri ini. Kalau sudah first impression masyarakat kepada kita buruk maka adalah sukar untuk menetap lama di sini nanti. Maka dengan itu, saya sedaya upaya yang boleh akan menjaga nama baik dan menjalinkan hubungan yang sihat dengan masyakarat di sekitar taman ini. InsyaAllah..

Berbalik kepada gotong-royong yang dijalankan. Gotong-royong ini juga dibantu oleh beberapa rakan guru yang turut sama tinggal ditaman ini seperti ustaz Nasir (berbaju merah) dan cikgu Razak (berbaju biru gelap) yang juga merupakan pengerusi di taman ini.

Ada lagi, cikgu Zikri (berbaju kelabu) juga turut turun padang membantu. Semuanya kelihatan bersemangat mengerjakan semak samun dan pokok-pokok kecil yang tumbuh. Seperti sudah biasa berkebun mereka ini juga tidak kelihatan penat dan letih sedikit pun. Mungkin seperti juga saya, sebab semangat ingin melihat rumah yang dibeli berubah wajah. Huhu..

Sememangnya semangat sebeginilah patut ditunjukkan oleh warga taman. Bukan hanya dikampung aktiviti gotong-royong ini wujud malah ditaman-taman perumahan juga kita seharusnya menunjukkan sikap saling bantu-membantu dan bekerjasama dalam setiap diri kita agar budaya kenal-mengenal dan bertegur sapa terus wujud dan berkekalan. Semoga warga taman ini hidup dalam keadaan aman dan sentosa hendaknya.

Kepada yang membantu terima kasih diucapkan dan doa-doakan kami seisi keluarga hidup dalam keadaan aman dan sejahtera dalam bahtera baru ini nanti. Semak pun sudah tiada hanya menunggu rumah dibaik pulih untuk kami duduki di awal tahun hadapan. InsyaAllah..

Sunday, August 22, 2010

Majlis Berbuka Puasa

Assalamualaikum,

Pada bulan Ramadhan ini, banyak tempat mengadakan majlis berbuka puasa. Selalunya yang tidak pernah miss mengadakan majlis berbuka puasa setiap tahun adalah di masjid dan surau. Maka, banyaklah jemputan diterima dari sana-sini.

Baru semalam, saya menghadiri majlis berbuka puasa di sebuah surau taman tempat tinggal saya iaitu Surau Taman Sungai Gemas. Ini juga merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke majlis berbuka puasa di sini. Sememangnya ini tahun pertama saya di sini. Saya hanya memenuhi undangan berbuka pada sebelah petang. Jadi, sepanjang aktiviti memasak di surau berkenaan tidaklah saya ikuti. Itu pun, kerana kewajipan memenuhi undangan, maka saya menghadiri majlis ini.

Jam hampir ke waktu 7 malam. Waktu maghrib pun hanya berbaki lagi lebih kurang 20 minit sebelum azan dilaungkan. Saya dengan berkejar mengambil kunci kereta dan memandu ke surau yang tidak sampai dua minit untuk sampai. Setiba di sana, masih lengang keadaannya. Orang ramai masih belum hadir. Eloklah tu. Taklah malu sangat kalau dah ramai orang. Nak bertegur sapa pun bukannya kenal sangat lagi dengan penduduk di taman ni. Berlainan sekali kalau di Terengganu, jam 6.30 sudah ramai orang yang datang untuk berbuka puasa di masjid dan surau walau pun waktu berbuka masih panjang lagi.

Tidak lama kemudian, ramailah orang yang datang dan waktu maghrib berkumandang menandakan masuknya waktu berbuka puasa. Sekali lagi saya hairan. Mana nasi? Yang ada hanya kurma, kuih dan air sahaja. Begitu ringkas sekali penduduk di sini berbuka puasa. Lebih kurang 10 minit semua orang bergerak ke atas surau untuk sembahyang magrib berjemaah selepas berbuka dengan hidangan yang ringan tadi.

Selepas sembahyang maghrib, sekali lagi orang ramai kelihatan bergerak ke khemah makan tadi sekali lagi. Saya yang masih belum mengerti majlis berbuka puasa di sini hanya mengekori dari belakang. Nak balik pun segan sebab tak ada seorang pun yang balik selepas solat tadi. Akhirnya, barulah saya faham, kali kedua ke khemah tersebut bila ternampak orang ramai tadi mula mencedok nasi dan lauk. Rupanya, di sini majlis berbukanya dua kali. Bermula dengan berbuka ringan sekadar mengikuti sunnah nabi dengan memakan kurma dan diikuti kali kedua dengan makan berat berupa lauk-pauk yang bermacam rasa.

Berbeza jika di Terengganu, majlis berbuka puasa akan disajikan langsung dengan lauk-pauk yang beraneka dan makan sekaligus hingga kenyang. Kemudian, barulah bersembahyang berjemaah di dalam masjid atau surau.

Sememangnya ianya suatu pengalaman yang baru ditempat orang. Betullah kata orang, jauh berjalan luas pemandangan, jauh merantau banyak ilmu ditimbakan.

Wallahu A'lam..

Tuesday, August 10, 2010

Selamat Berterawikh dan Berpuasa

Setelah Allah menciptakan nafsu, Allah berkata, "Wahai nafsu, siapakah engkau dan siapakah Aku?" Nafsu menjawab, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau." Maka Allah campakkan nafsu ke dalam neraka panas dan neraka sejuk (rasa sejuk yang dahsyat) beratus2 tahun dan dikeluarkan, masih juga dijawab dengan jawapan yang sama, hinggalah Allah mencampakkan rasa lapar kepada nafsu, maka lemahlah ia dan berkata "Engkau ialah tuhanku dan aku adalah hamba-Mu"

Pengajaran dari kisah ini adalah Allah yang menciptakan nafsu dan Allah Maha Tahu apa yang membuatkan nafsu lemah..nafsu boleh jadi jahat even dibakar dalam api, manusia masih jahat walau di bumi2 gersang yang mataharinya panas membakar kulit dan manusia masih jahat di bumi2 sejuk yang membeku. Tetap nafsunya boleh jahat. Tapi kalau diuji dengan lapar, manusia akan lemah...kenapa? SEBAB ALLAH YANG CIPTAKAN MACAM TU...

Pengajaran: Nak tunjukkan nafsu tu sombong, tapi boleh ditundukkan dengan mengurangkan makan. Perut punca segala nafsu. Makanan yang tak baik punca nafsu mengganas. Makanan yang baik dari hasil yang baik disediakan oleh orang yang baik dengan cara yang baik merupakan punca nafsu tunduk, juga Allah sebut dalam Quran, untuk kawal nafsu, maka banyak2 berpuasa. Kejadian ini juga sebagai asbab, kenapa turunnya suruhan berpuasa dan kaitannya dengan cara menundukkan nafsu..

Sebab tu dalam mazhab syafie, waktu qiam, kena letak tangan kat perut (sebab sebagai tanda perut punca segala nafsu). Mazhab2 lain ada yang letak tangan di sisi, sebab seluruh tubuh adalah punca nafsu, ada letak di bawah pusat (kemaluan punca kejahatan) atau di dada (hati punca kejahatan). Semua saling berkaitan dan tidak ada satu pun yang salah...

Sama macam kenapa lelaki jatuh cinta kat perempuan dan perempuan jatuh cinta kat lelaki? SEBAB ALLAH CIPTAKAN MACAM TU (Kecuali orang yang melampaui batas dia akan mencintai kaum sejenisnya)

Sama juga kenapa nafsu lemah dengan lapar? SEBAB ALLAH CIPTAKAN MACAM TU (kecuali bagi orang yang berpuasa makan minum, tetapi tidak 'berpuasa' yang lain2, maka sedikit pun tidak dapat mencegah kejahatannya. Justeru itu, sebenarnya dia 'tidak berpuasa', maka tidaklah nafsunya tunduk kecuali sedikit (itu pun kerana letih tak makan dan minum, jadi kuranglah sikit jahatnya)

JADI JAWAPANNYA KERANA ALLAH YANG CIPTAKAN LAPAR UNTUK MELEMAHKAN NAFSU...

Sebelum nafsu diciptakan lagi, Allah telah tahu bahawa lapar akan menundukkan nafsu. Tapi Allah sengaja campakkan nafsu dalam neraka panas dan sejuk untuk kita ambil pengajaran (tapi kita selalu tanya, kalau Allah dah tahu, kenapa tak terus campakkan rasa lapar untuk lemahkan nafsu? kenapa mesti campak dalam neraka2 lain dulu?

Sedangkan Allah sengaja ciptakan peristiwa itu untuk buktikan kepada kita sekali pun di mana2 bumi kita berada, dalam panas atau sejuk, sekalipun kita tahu neraka wujud, sampai tahu perbuatan kita boleh dibakar dalam neraka, tetap juga kita jahat..... kecuali dengan banyak berpuasa... maka lemahlah nafsu kita...

Selamat berpuasa dan beramal

P/S: Artikel dipetik dari emel seorang rakan kepada penulis.

Tuesday, August 3, 2010

Karenah Hasya, Kini 9 Bulan

Assalamualaikum,

Lama rasanya tak kemaskini blog ni. Terdetik pula idea nak menulis kat blog ni bila melihat gambar-gambar Hasya dalam telefon bimbit. Hasya sekarang dah besar. Jauh lebih besar berbanding sembilan bulan yang lalu.. huhu..

Hasya sekarang makin aktif. Tengok saja gambar di bawah. Habis printer Brother ibu dan abahnya dia kerjakan. Dijadikannya seperti mainannya, boleh panjat dan duduk di atas tu sesuka hati.

Dulu, Hasya hanya pandai tengok sahaja printer tu sebab printer tu lebih tinggi dari dia. Mana taknya, beberapa bulan yang lepas Hasya hanya pandai meniarap je.

Sekarang, boleh dikatakan hari-hari Hasya akan naik dan duduk atas printer tu. Dibuatnya macam bangku. Kalau ibu dan abah ada, bolehlah melarang.

Selalunya, abah letak Hasya ditempat lain yang jauh dari printer tu. Tapi, tak sampai seminit, Hasya datang balik. Tak boleh celah sebelah kiri, Hasya celok sebelah kanan abah. Kuat betul azam dan iktikad Hasya usahakan nak dapat naik atas printer tu. Semangat tak mudah mengalah yang bagus ditunjukkan oleh anak ibu dan abah sorang ni. Sayangnya, tak kena pada tempatnya.

Akhirnya, abah buat keputusan. Gaji abah bulan ni abah belanjakan membeli kabinet yang lebih tinggi dari Hasya.

Namun, sesuatu yang diharapkan tak sempurna datangnya. Abah hanya mampu beli kabinet yang tak siap. Sampai kerumah hanyalah kepingan-kepingan papan lapis yang belum bercantum menjadi sebuah kabinet. Puas abah fikirkan macam mana nak buat. 10 minit jugalah abah hanya belek kertas manual pengguna yang dibekalkan dalam pakej bungkusan kepingan papan lapis yang abah beli. Masa merujuk manual pengguna tu, sempat jugalah Hasya datang menempel disebelah. Hai, manalah ibu Hasya ni.. Biarkan Hasya terlepas bebas..

1 jam selepas usaha mencantumkan kabinet tu, dapatlah hasilnya seperti gambar di bawah. Berjaya, walaupun belum sepenuhnya sempurna..

Akhirnya, selepas 2 jam mengerjakannya dapatlah sebuah kabinet yang tercantum indah dan tinggi dari Hasya. Usaha dan pengalaman yang cukup menarik dalam mengharungi detik-detik pemasangan kabinet ini. Sempat juga terdetik dihati, dengan nada riak dan sombong, pandai juga aku ni.. Astaghfirullah Al'azim.. Mohon keampunan dari Allah swt.

Kini, kabinet yang siap dicantum abah letakkan disebelah kabinet tv. Sememangnya kabinet abah beli itu lebih tinggi dari kabinet tv dan yang lebih penting ianya lebih tinggi dari Hasya. Lihat sahajalah gambar di bawah. Hasya hanya mampu berdiri di bawahnya. Tersenyum sinis. Apa yang penting, hasrat Hasya untuk bermain dengan printer ibu dan abah tak lagi tercapai.

Dengan kata lain, mission accomplished..